Sunday, 13 February 2011

Maaf Eh!

Di sini, aku ingin meminta maaf kepada dia yang mengharapkan cerita yang lebih jelas di dalam blog ini.  Dahulu, aku seronok sendiri menulis di dalam blog ini kerana yakin aku seorang sahaja yang membacanya. Oleh sebab itu aku menulis dengan penuh keikhlasan. Maaflah, agaknya aku terbawa-bawa perasaan malu kerana membayangkan sudah ada beberapa orang termasuk orang penting yang membaca cerita di sini. Huihui.
 
Aku sepatutnya bersikap lebih terbuka kepada orang-orang yang aku anggap penting itu. Ini juga sebahagian daripada nilai keikhlasan yang dititikberatkan. Terutamanya ikhlas kepada diri aku sendiri.

Aku kena berbalik kepada tujuan sebenar aku menaip di blog -iaitu untuk menjawab soalan-soalan yang aku sendiri tanyakan, untuk bermuhasabah, dan untuk menambah kenal diri sendiri. Aku tidak gemar bercakap. Aku hanya banyak mulut kepada orang yang rapat denganku atau kepada orang yang lebih pendiam daripada aku. Kadang-kadang aku kasihan pada mereka yang menepati kedua-dua ciri itu kerana aku bercerita tetapi tidak mengetahui apa 'cerita' dalam hati mereka. Akulah pembuli orang pendiam yang minoriti.

Beberapa hari lepas merupakan hari lahir ayah. Jadi, keadaan emosi ahlul rumah memang kurang stabil. Idea untuk pulang ke KL memang kurang baik jadi aku terpaksa batalkan pada saat-saat akhir. Emak pula fikir aku batalkan kerana ada masalah peribadi lalu aku diejek. Tak mengapa, aku pun sayang pula nak tinggalkan Atih dan Abu. Entah sejak bila aku sayangkan benda yang aku sering takutkan.

Di sini, aku telah belajar untuk memberi masa kepada diri sendiri. Memberi masa secara langsung bermaksud aku menghormati dan menyayangi diri sendiri. Memberi masa juga bermaksud aku memaafkan diri sendiri. Aku belajar untuk menjadi lebih realistik, tidak mengalah pada kekurangan, lebih terbuka, dan sebagainya. 
 
Antaranya, untuk menyayangi Atih dan Abu itulah. Sebenarnya susah. Tapi, setelah gunakan teknik-teknik yang dipelajari tadi: beri masa dan jadi realistik. Tak boleh tidak takut akan kucing serta-merta. Di samping proses itu, perlu menerima diri seadanya. Jangan marahkan diri yang dahulu kerana kurang suka dengan kucing. Belajar memaafkan diri sendiri.

Ah!!! Aku harap aku tidak terlalu sensitif dan mula bercakap-cakap dengan kucing.

No comments: