Monday, 17 January 2011

Sedikit Mujahadah

Saya kembalikan semula blog ini ke link asal kerana ada beberapa sahabat tidak menemui blog saya. Saya minta maaf jika menyusahkan.
 
Saya menulis ini di Hospital Pantai Sungai Petani sambil-sambil menemani emak yang dimasukkan ke dalam wad semalam. Semalam pembedahan kecil untuk membuang ketumbuhan dalam perut emak telah selamat dijalankan, alhamdulillah. Apabila dimaklumkan oleh adik saya mengenai emak, saya segera pulang ke Perak. Ketika itu, saya berada di Kem Nur Bukit Unggul bagi menyertai program Southern Gathering 2011. Niat untuk stay lebih lama di Selangor terpaksa saya batalkan. Yang penting, inshaAllah, esok emak dah boleh balik. Malam ni pula, buat pertama kalinya saya akan bermalam di hospital. Ada sedikit perasaan teruja dengan pengalaman pertama.
 
Kebelakangan ini, saya banyak kali 'ditampar' kerana lama membiarkan jiwa meranduk lumpur-lumpur jahiliyyah tanpa meningkatkan usaha untuk berhadapan dengannya. Saya silap dengan beranggapan, biarlah iman sekadar kais pagi makan pagi sahaja, asalkan tidak terikut-ikut perkara lalai. Saya tidak mahu melawan dan marah. Hanya bertindak mengangkat benteng seadanya. Walhal strategi itu pasti gagal dalam mana-mana perlawanan.
 
Sedangkan syurga itu bukanlah murah harganya. Syurga juga bukan untuk yang biasa-biasa atau yang 'cukup-cukup makan' sahaja. Syurga itu untuk mereka yang membayar dengan gembira dan keluh-kesahnya, dengan luka dan peluhnya, serta dengan harta dan keluarganya.

"Mereka merenggangkan diri dari tempat tidur, (sedikit sangat tidur, kerana mengerjakan sembahyang tahajjud dan amal-amal soleh); mereka sentiasa berdoa kepada Tuhan mereka dengan perasaan takut (akan kemurkaan-Nya); dan mereka selalu pula mendermakan sebahagian dari apa yang Kami beri kepada mereka."   (As-Sajdah:16)

Hanya bekalan sedikit mujahadah bisa menyelamatkan manusia daripada pemikiran-pemikiran melampau sebagai seorang da'i yang malas. Tamparan ini adalah sapaan kasih-sayang Allah, kerana sekali lagi ia menyelamatkan saya daripada perhambaan sesama manusia kepada penyembahan Allah semata-mata.
 
Hanya sedikit mujahadah. Lalu, pertolongan Allah itu sangat dekat.
Hubungan dengan Allah merupakan aset penting seorang da'i. Hubungan inilah yang mengangkat martabat seorang manusia berbanding manusia yang lain melepasi langit dunia. Daripada hubungan inilah datangnya taqwa, iaitu jalan pintas untuk ke syurga. Hubungan ruhi terbina dengan memutuskan ikatan jiwa daripada yang selainnya, melahirkan rasa cinta yang sangat lazat. Sehingga yang pahit dirasakan manis. Yang sukar menghasilkan tenang. Dan ianya bermula dengan hanya sedikit modal mujahadah.
 
Andai Ibrahim a.s. lebih mencintai bapa, anak dan isteri daripada Allah;
 
Andai Yaakub a.s. lebih mencintai dendam daripada kesabaran;
 
Andai Yusuf a.s. memilih indahnya istana daripada penjara;
 
Andai Muhammad s.a.w. mementingkan duniawi daripada ukhrawi;
 
Pasti mereka bukanlah mereka yang dipuji-puji di dalam Al-Quran.  

Mujahadah, memilih jalan yang mendaki dan sukar.
"Dan tahukah kamu apakah jalan yang mendaki dan sukar itu? (Yaitu) melepaskan perbudakan (hamba sahaya), atau memberi makan pada hari terjadi kelaparan, (kepada) anak yatim yang ada hubungan kerabat, atau orang miskin yang sangat fakir. Kemudian dia termasuk orang-orang yang beriman, dan saling berpesan untuk bersabar dan saling berpesan untuk berkasih sayang. Mereka adalah golongan kanan."   (Al-Balad:12-18)

Kerana cinta Allah bukanlah sesuatu yang murah. Kerana kita semua menginginkan suatu hari nanti kita tersenyum kepada apa yang berlalu di belakang sambil berkata, 'Mujurlah aku bermujahadah.'

Alhamdulillah. Segala puji bagi Allah kerana mengizinkan saya bernafas dalam rahmah-Nya sehingga hari ini.

No comments: