Monday, 3 January 2011

P.Ramlee: Perjuangan Untuk Diteladani

Saya sempat menonton biografi seniman negara, P.Ramlee (Allahyarham) di History Channel baru-baru ini. 

P.Ramlee, sebuah nama yang tidak asing lagi pada era filem hitam putih dan nama yang mahsyur sehingga menempah tempat di mata antarabangsa. Kejayaan filem dan lagu P.Ramlee masih membahang kerana kebanyakan filemnya yang terkenal seperti Bujang Lapok, Ibu Mertuaku, Antara Dua Darjat, Madu Tiga dan Labu Labi masih ditayangkan di kaca televisyen hari ini.


Saya tidak mahu bercerita tentang kejayaan dan kemahsyuran P.Ramlee kerana saya pasti ramai yang lebih arif dan lebih maklum mengenainya berbanding saya. Saya juga tidak mahu merungkai kisah-kisah sedih yang dihadapi P.Ramlee selepas zaman kegemilangannya, ketika beliau tiba-tiba terpinggir dan terbuang oleh orang-orang yang selama ini memuja bakatnya. Saya juga tidak mahu menggambarkan secara details penderitaan mental dan fizikal yang beliau alami setelah itu. Kita akan lebih menghayatinya dengan menonton biografi itu sendiri di sini atau membaca kisah hidup beliau sendiri di sini.

Di sini, apa yang datang dengan segera untuk menusuk hati saya ialah apabila tiba-tiba saya merasa kerdil dengan usaha P.Ramlee memperjuangkan filem dan muziknya di saat orang lain telahpun berputus asa mengenainya. Banyak konflik dan ujian yang datang seperti tsunami. Namun, beliau tetap berusaha untuk memperjuangkan apa yang beliau cinta dan percaya. Filem gagal tetapi dibikin lagi filem yang lain. Syarikat gagal tetapi ditubuhkan lagi yang baru. Sehingga akhirnya kita boleh mendengar istilah 'nasi dan telur', 'kedai mahjong', 'bunyi boo' dan 'persembahan di kenduri' pada kisah hidup beliau.


Akhirnya saya menangis kerana terharu akan erti perjuangan yang ditunjukkan oleh beliau. Saya berasa malu dan kerdil. Sedangkan saya di sini cuba memperjuangkan perkara yang lebih haq, tetapi perjuangan dan cita-cita dalam diri saya seperti langit dan bumi berbanding dengan apa yang beliau lakukan. Saya tidak diuji dengan pekerja yang mogok, ugutan pihak atasan, kritikan akhbar, bunyi 'boo' semasa membuat persembahan, saman, kemiskinan dan pengkhianatan. Malah saya tidak tahu pun sama ada saya akan bangkit semula jika diuji sebegitu. Kesimpulannya, perjuangan P.Ramlee sangat hebat.

Dan apa yang sampai ke telinga dan mata kita pada hari ini hanyalah perkara-perkara yang indah sahaja mengenai hidup beliau. Sehinggalah datang biografi ini untuk mendedahkan hakikat perjuangan seorang anak seni yang bernama P.Ramlee.

"Anak-anak perlu dididik untuk suka pada muzik kita (tradisional, dondang sayang, ghazal etc.) sejak kecil, di bangku sekolah lagi. seperti didikan agama - kita beri sejak kecil maka jika dia pergi ke mana-mana setelah besar, dia masih berpegang pada agama. Begitu juga muzik."   Antara mesej beliau (yang bunyinya lebih kurang).

Terima kasih, P.Ramlee. Kerana menunjukkan apakah itu sebuah perjuangan.

Perjuangan yang mesti juga dipelajari - kisah hidup para nabi esp. Rasulullah s.a.w., para sahabat, tabi'in, ISHAB, Sayyid Qutb, Zainab al-Ghazali, pejuang-pejuang di nusantara, Tok Janggut etc.



p/s: Biografi-biografi ini membuatkan seorang anak rindu kepada ayahnya~

No comments: