Tuesday, 7 December 2010

Saya Okay!

Seminggu tidak menulis di sini. Masa yang agak lama bagi seseorang seperti saya yang terlebih rajin mencoret kisah hidup di sini. Di saat sahabat-sahabat lain menulis bermacam-macam kisah yang penuh dengan ilmu dan sarat dengan pengajaran, saya hanya reti menaip cerita Doraemon saya di sini. Ruangan sempit yang penuh dengan belenggu Nobita dan masalah-masalahnya setiap hari. Fuh... bosannya hidup Doraemon. Tidak. Tidak. Saya tidak mahu jadi Doraemonlah.

Saya nak jadi Sam. Sam cerita the Lord of the Ring ha ha ha. Apa-apa sahajalah.


Ingin menjadi seseorang yang mempertahankan akhawatnya daripada kejahatan sebagaimana Sam mempertahankan Frodo daripada kejahatan Gollum.

Saya masih kaget di sini, apabila menyedari tirai Disember 2010 sudah longgar ikatannya. Sekejap sahaja lagi ia akan berlabuh, meninggalkan dengung-dengung suara akhawat yang terjerit kecil pada 1 Januari 2010 yang lalu kerana terpaksa menambah satu tahun dalam umur mereka dalam sesi taaruf. Suasana yang masih segar-bugar. Saya terfikir, apakah waktu ini - di saat saya menulis ini, masih segar ketika saya mengenangkannya lima tahun nanti?

Masa
Bagaikan suatu hadiah dibalut berlapis-lapis
Setiap hari kami mencarik-carik pembalutnya
Demi melihat apa di dalam.
Tangan masih laju mencarik
Tapi hati berdebar-debar.

Salam Maal Hijrah!

Saya di sini masih belajar erti suatu lintasan jiwa yang sangat bermakna. Saban hari semakin mendalam. Saya sedang berusaha memperdalamkan suatu perasaan bernama cinta. Yang melintas dan berumah di dalam sukma. Datang ketika mengenang Tuhan dan makhluk-makhluk.

Aku soroti mata ke pelusuk alam
Tiadalah ini dicipta dengan sia-sia
Aku memandang ke langit
Terpampang makna ikhlas

Aku ingin seperti Imam Ahmad ra
Yang ikhlas dalam pengabdian penanya
Hatta banjirnya satu Baghdad
Tidak mencairkan tinta-tinta di kitabnya

Aku ingin seperti Imam Malik ra
Yang ikhlas dalam pengabdian penanya
Hatta zaman menghasilkan berbagai jenis Muwatta'
Muwatta'-nyalah yang tersemat dalam jiwa para ulama

Alhamdulillah. Keputusan peperiksaan yang Allah kurniakan pada saya menyebabkan saya terkena dengan jenaka persoalan hidup sendiri. Termangu-mangu seperti orang yang ditegur ketika duduk termenung, saya tersedar dengan soalan ghaib, "Maka nikmat Tuhanmu yang manakah yang kamu dustakan?"

Aku bersyukur ya Allah, atas kurniaan-Mu yang tidaklah disangka-sangka. Aku telah menyaksikan. Aku telah memegang shahadah itu. Shahadah Allah sebagai Tuhanku yang Maha Pengasih. Tatkala aku meredhai impian yang tidak tercapai, Engkau beri yang lebih baik.

Sesungguhnya ia jauh lebih baik!

Saya baru nak 'settle down' di rumah. Bak kata orang - baru nak keluarkan kuali dan periuk. Sedang bersiap-siap untuk kenduri abang long pada hari Ahad nanti. Pada masa yang sama, sekarang sedang dibebel Arif yang memaksa saya makan nasi. Laptop sedikit rosak dan internet agak terhad, maka beginilah.

Untuk yang rindukan 'updates', saya di sini, 'okay' sahaja. Doakanlah saya, semoga saya sentiasa istiqamah, kerana itu sahajalah punca hidup yang terlihat di mata ini. Terang bagaikan matahari. Jelas bagaikan imej cermin bersih.

Saya sangat okay!

Buatmu ukhti, kenangkan juga wajahku dalam ma'thuratmu, qiammu dan doamu semoga kuasa telepati ukhwah itu boleh terasa dalam tidurku meskipun benua kita berbeza sekalipun. Saya sedang bermain cinta dengan buku dan kuali. Doakan perhubungan kami berkekalan - ya'ni tiada bunyi dengkur-dengkur cinta atau bau hangit-hangit cinta :-)

No comments: