Tuesday, 14 December 2010

Insomnia

Insomnia dicirikan dengan ketakupayaan bertidur dan/atau ketidakupayaan bertidur selama tempoh yang munasabah. Penghidap insomnia biasanya merungut kerana tidak berupaya menutup mata atau "merehatkan minda" buat melebihi beberapa minit setiap kali. Kedua-dua insomnia organik dan insomnia bukan organik merupakan gangguan tidur. Insomnia biasanya diakibatkan oleh ketakutan, tekanan, kebimbangan, ubat, herba, kafeina, kemurungan atau kekadangnya tanpa sebarang sebab yang ketara. Minda yang terlalu aktif serta sakit fizikal juga boleh mengakibatkannya. Mencari sebab yang mengakibatkan insomnia biasanya diperlukan untuk merawatnya. - Sumber Wikipedia.

(Miss Angela tak benarkan pelajar-pelajar beliau menggunakan sumber Wiki untuk merujuk sesuatu perkara tetapi carian di Google mempamerkan Wiki dahulu. Saya pula tidak rajin untuk mengklik pada link yang lain.)

Saya pernah mengalami penderitaan insomnia ini beberapa tahun yang lalu. Seperti yang digambarkan di atas, saya bukan sahaja merungut malah berasa sakit jiwa raga kerana hanya mampu melelapkan mata pada jam tiga pagi walaupun masuk tidur pada jam sebelas. Dan ini berlanjutan selama setengah tahun, iaitu selepas SPM sehingga menyambung pelajaran di SyUC tujuh bulan kemudian.

”Dan Kami jadikan tidurmu untuk istirahat” (An-Naba : 9)

Tidak dapat istirahat itu :-( Saya tidak tahu apa yang menyebabkan saya mengalami insomnia pada ketika itu. Yang saya tahu, setiap malam amat memeritkan dan hari-hari yang saya lalui penuh dengan doa supaya malam tidak kunjung tiba. Saya dah buat macam-macam persediaan supaya saya boleh tidur. Saya kemas tempat tidur cantik-cantik, suhu bilik pun dah diselesakan, masuk tidur awal, minum susu etc. etc. Namun semuanya berakhir dengan renungan 'tension' ke arah adik yang sudah nyenyak tidur dalam keadaan aman sentosa.

Keadaan orang ni sebijik macam saya.

Saya rasa ianya disebabkan tekanan kerana 'menganggur tahap maksima' pada ketika itu. Dan  kerana minda yang terlalu aktif berfikir tentang apa dan apa yang akan berlaku pada masa hadapan dan yang telah berlaku pada masa lalu. Juga mungkin kerana berasa murung kerana rakan-rakan yang lain sudah pun menyambung pelajaran di institusi-institusi pengajian tinggi masing-masing sedangkan berita yang pasti untuk saya masih tidak muncul.

Atau mungkinkah murung memikirkan perpisahan dengan ehem-ehem rakan-rakan yang bakal terbang ke luar negara untuk bertahun-tahun lamanya? =P

Setiap malam saya habiskan masa menaip cerpen atau melukis potret jika tidak mampu tidur. Kadang-kadang sudah jadi mindset bahawa saya tidak akan mampu lena pun sebelum pukul tiga, jadi lebih baik tidak cuba tidur. Saya juga duduk merenung mentol lampu atau membayangkan kambing biri-biri melompat jika keadaan sudah menjadi psycho tahap kritikal.

Huh, sungguh trauma akan penyakit itu. Saya amat menggeruninya.

Di sini saya belajar erti syukur. Tidur itu nikmat dan anugerah Allah yang best, tidak semua dapat menikmatinya. Ada yang boleh tidur tetapi 'dipaksa' berjaga seperti pak guard dan DJ radio shift malam. Ada pula yang dipaksa tidur tetapi tidak boleh tidur seperti budak yang bernama Auni Nur Fatin.

“Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah tidurmu di waktu malam dan siang hari dan usahamu mencari sebagian dari karunia-Nya.” (Ar-Rum : 23).

Dan apabila terjaga dari tidur, manusia sepatutnya bersyukur kerana mampu membuka mata pada hari itu dan telah dilengkapkan rehat fizikalnya dengan sempurna. Macam mana manusia boleh terlelap, itu suatu proses yang susah diterangkan. Proses peralihan antara dua dunia dalam tidur manusia itu merupakan suatu kuasa Allah yang patut direnungi kita semua. Ianya suatu proses yang sukar saya kecapi selama beberapa bulan itu.

“Dan Dialah yang menidurkan kamu di malam hari ….” (Al-An’am : 60).

Untuk mengelakkan insomnia, aktifkan diri anda pada waktu siang supaya badan anda akan tidak sabar-sabar lagi untuk tidur menjelang malam. Belilah mesin senaman TAKASIMA! he he.

Ok saya sangat mengantuk dah ni :-)

*Alhamdulillah, setelah menjejakkan kaki ke SyUC, tiada lagi masalah insomnia :-)

No comments: