Sunday, 26 December 2010

Cerpan: Serangan

Sambungan 'Orientasi'.

"Semalam, Ros nampak 'benda tu' depan bilik Hafsah," cerita itu tersebar di kalangan pelajar tingkatan satu. Setelah jawapan kepada semua soalan yang bertalu-talu datang dikumpul kemudiannya, latar kisahnya ialah pada jam 5 pagi di blok A dan B aspuri tingkat 2 - apabila Ros keluar dari bilik air dan ternampak 'benda' berwarna putih berambut panjang itu duduk bertenggek di koridor bilik Hafsah sambil merenungnya.

Naik demam aku mendengar kisah Ros. Dormku berada betul-betul di atas bilik Hafsah, dan katil aku berada di kedudukan bertepatan pintu. Dekatnya, fikirku.

Kemudian, tersebarlah bermacam-macam lagi cerita angker yang menyebabkan pelajar-pelajar perlukan peneman untuk ke setiap sudut aspuri terutamanya tandas, bilik basuh baju, stor dan ampaian. Kisah-kisah lain mula berantai. Terdengar bunyi bayi menangislah, kena tindih tiap-tiap malamlah, dengar bunyi rantai diseretlah, nampak budak main suis lampulah, kisah pak guard nampak perempuan rambut panjang dukung anaklah, dan tidak terkecuali kisah-kisah di aspura yang digambarkan lebih 'high level' menakutkan daripada di aspuri.

Pelajar-pelajar tingkatan satu beratur panjang di pondok telefon bagi mengadu rasa takut yang dialami setiap malam. Dan aku, masih lagi pelajar 'blur' yang takut-takut kerana aku belum pernah terserempak jin dan syaitan seumur hidupku. Aku tidak pernah menjangka hal sebegini adalah sinonim di mana-mana asrama. Sepanjang hari langkahku ke kelas diisi dengan kekesalan yang separuh tentang keputusanku untuk mendaftar di asrama.

Tambahan lagi, jika aku terjaga pada tengah malam untuk ke tandas, aku kasihan kerana asyik mengejutkan Farah untuk menemani aku. Lama-kelamaan, aku memberanikan diri untuk pergi ke tandas seorang diri setiap malam. Dalam kepalaku hanya membayangkan pelbagai kemungkinan nampak itu dan ini. Dalam hati pula penuh harapan supaya ada kakak-kakak yang masih berjaga di kawasan berhampiran untuk 'stay-up study' atau seterika baju. Selalunya harapan hancur berkecai. Kesemua pintu dorm telah pun tertutup rapat. Perlu melalui bilik study yang panjang dan gelap-gelita. Juga stor blok B itu ... Mujurlah Allah kurniakan rasa mengantuk kepadaku setiap kali terjaga pada waktu malam, lalu aku tidaklah terlalu takut atau aktif 'berperasaan'.

Alhamdulillah, tidak pernah jumpa apa-apa yang aneh.

Kemuncak kisah ini datang akhirnya pada suatu malam, apabila kesemua pelajar tingkatan satu ditugaskan untuk membersihkan musolla pada waktu prep malam. Jadi, selain musolla, kawasan asrama sedikit gelap dengan hanya diterangi lampu koridor sahaja. Aku sedang ralit mengelap tingkap apabila kekecohan berlaku di luar musolla bahawa suara jeritan wanita yang sangat kuat telah didengari tetapi oleh hanya beberapa orang rakan. Anehnya, jeritan itu dikatakan sangat kuat sehingga didengari pelajar tingkatan lima di kelas mereka berhampiran kantin, walhal aku yang berada di dalam musolla tidak mendengarnya. Setelah Hafizah mengatakan ia ternampak bayang hitam berjalan di kawasan berhampiran dan menghilang sejurus jeritan itu bergema, tahulah kami bahawa jeritan itu bukannya datang daripada mana-mana pelajar.

Bersambung... (bila rajin)

No comments: