Tuesday, 23 November 2010

Opocot!


Pembuluh jantung bagai dipotong, inspirasi dan imaginasiku bagai disekat. Jiwa aku meronta-ronta menagih kasih dari langit. Ada sesuatu yang aku tidak bisa hidup tanpanya. 

Aku harus lebih berani dan kuat.

"Tanpa keberanian, mimpi tidak akan menjadi kenyataan!" Suatu jeritan minda bergema tanpa suara di sudut-sudut bilik. Gemanya macam menempeleng pipi sendiri. Aku tidak mahu mengalah dengan kesilapan lalu tatkala aku sering melatah setelah terhantuk dengan kesalahan sendiri. Aku mahu menjadi seseorang yang tajam mata hatinya, sehingga ia bisa mengesan tanda-tanda kedatangan noda itu berkilometer sebelum ia sampai.

Namun, realitinya hati ini masih bertatih mencari kasih itu. Hati ini masih tidak setajam itu. Lalu, banyak hantukan yang aku terima sebelum menyedari diri sedang hampir lemas dalam lautan keindahan dunia.

Ada kalanya, aku bermusuh dengan diri sendiri. Aku tidak boleh lagi memanjakan diri sendiri. Kelalaian harus diberikan sedikit denda. Dan dalam masa yang sama, aku tidak boleh lagi sering tersilap merasa kasihan dengan bahagian diri yang lain yang merengek meminta belas kasihan. Ini kerana yang merengek itu panggilan dosa, meminta memanjakan diri. Jikalau aku terlalu menyayangi diri sendiri maka aku pasti melayaninya. Hasilnya lama-kelamaan aku akan mulai mencintai dunia. Lalu lalai dan jiwa menunggu lama dalam rendaman untuk terhantuk. Dan kembali tersedar untuk memarahi diri.

Aku nampak al-hawa' itu sering dalam samar (menyamar). Ia perlu diikat kuat-kuat. Tahap ikatan itu bergantung pada kekuatan hati pula, bukannya kekuatan otot. Maka ia bergantung pula dengan kekuatan hubungan aku dengan Tuhanku yang di langit. Maka bergantung pula pada kekuatan aku yang berani melawan dan menolak al-hawa' itu tadi. Maka ia berpusing-pusing maka begitulah. Godaan ini seperti anjing, dihalau pun ia julurkan lidah, dibiarkan pun dijulurkan lidah (rujuk 7:176). Maka, aku perlu meletakkan kewaspadaan penuh kepadanya.

Dahulu, aku memandang kasih Tuhan dengan pemikiran yang singkat lalu ia terhenti hanya sebagai suatu madah singkat pula. Aku anggap jika perlu, maka aku minta. Jika tidak perlu, maka aku lupa. Ketika itu syaitan sedang bertepuk tangan melihat aku. Kini aku sudah mengetahui. Namun, seringkali juga lalai dan  aku seolah-olah ingin menjadi orang yang ingin bertuhan jika perlu. Syaitan ketawa lebih kuat. Juga mentertawakan segala usaha pentarbiyyahan selama ini yang entah manjadi bagaikan debu-debu berterbangan.
"Dan bacakanlah kepada mereka, berita orang yang telah Kami berikan ayat-ayat Kami kepadanya, kemudian dia melepaskan diri dari ayat-ayat itu, lalu dia diikuti oleh syaitan (sampai dia tergoda), maka jadilah dia termasuk orang yang sesat." Al-A'raf ayat 175.

Na'uzubillahiminzalik.

Aku membina mimpi indah
Untuk bersama dengan Tuhanku
Siapa dapat menyangka
Sehasta lagi untuk ke syurga
Tapi kerana ada sedikit tersilap
Yang aku remehkan dahulu
- memanjakan al-hawa'
Takdirku berbeza
Ya Allah,
Hamba memohon kepada-Mu
Jadikanku hamba yang mengerti,
Bukannya yang menyalaherti.

Kalau pun mengantuk, hantuklah sekarang. Sekurang-kurangnya aku diberi peluang untuk menyedari kelemasan aku. Jangan sampai aku menghantuk diri dengan penuh penyesalan di akhirat kelak kerana tidak pernah terhantuk dan melatah di dunia.

p/s: Saya rindu Nur. Tak nak datang untuk terkejutkan saya ke? Kena ajar saya cara nak pilih kain ela. Emak kata taste saya teruk betul.

Tanpa keberanian, mimpi tak akan menjadi kenyataan. Sila ambil risiko dan bertindak sebelum menyedari mimpi hanya kekal  sebagai mimpi. (Nasihat nenek-nenek)

No comments: