Friday, 5 November 2010

Banjir Oh Bella!

Aloq Setaq, 4 Nov - Seorang pelajar tingkatan tiga di sebuah MRSM berasa terkilan apabila ibunya tidak dapat menghadiri majlis graduasi PMR di sekolahnya gara-gara tersekat di Aloq Setaq kerana bah (banjir). Ibunya, Fatimah, 49, yang juga telah merancang untuk membawa pelajar tersebut pulang ke rumah setelah tamat tempoh pembelajaran di sekolah tersebut akhirnya meminta abang iparnya yang tinggal berhampiran Tunjang untuk membawa pelajar tersebut tinggal bersamanya buat sementara waktu sehingga bah surut.

 
"Saya akan mai ambik anak saya apabila jalan ke utara bukak semula. Kami (ibu dan kakak pelajar) bertolak sebelum subuh untuk menghadiri majlis tersebut namun jalan ke utara semuanya telah ditutup termasuk lebuhraya dan jalan kampung," katanya. Ibu pelajar tersebut telah menghabiskan masa selama beberapa jam di dalam bandar Aloq Setaq untuk mencari jalan ke Jitra tetapi malangnya air naik sehingga beberapa kaki menyebabkan kereta kecil tidak dapat melepasinya.

"Jalan-jalan terpaksa ditutup kecuali untuk lori dan bas sahaja," kata polis trafik bertugas yang menjaga laluan masuk ke Kangar di lampu isyarat utama. "Namun, masih ada yang berdegil untuk melepasi dan kami tidak dapat berbuat apa-apa."

Beberapa buah kenderaan telah berusaha mencari jalan inisiatif melalui jalan-jalan kampung dengan bantuan penduduk kampung berhampiran. Ini kerana kesesakan dan bah di jalan utama tidak dapat ditanggung sesetengah pihak. "Kami mencapai keuntungan besar pada hari ini. Cuma bekalan air di sini tidak ada menyebabkan tandas-tandas terpaksa ditutup," kata seorang pekerja di sebuah stesen minyak yang terletak di sepanjang jalan tersebut.

Oleh kerana menemui jalan buntu, Fatimah telah pun pulang ke Sungai Petani namun apabila dihubungi pelajar tersebut dengan mengatakan bahawa ada ibu bapa yang berjaya melepasi jalan yang bah itu dan tiba di sekolah berkenaan, ibu pelajar tersebut telah berpatah balik ke Aloq Setaq untuk mencari jalan ke sana. Kebanyakan kereta terpaksa melalui Mergong sehingga ke Kuala Kedah dan ceruk kampung nelayan untuk ke Jitra. Dilaporkan ibu pelajar tersebut telah gagal tiba di destinasi walaupun telah berhempas-pulas mencari jalan sehingga jam tiga petang.

"Ayaq semakin naik la ni (sekarang ni). Jadi kami macam dah tak ada harapan. Jadi kami rasa elok kami balik sahaja. Biaq dia (pelajar tersebut) duduk dengan Pak Long dia di Tunjang," kata Auni, 22, kakak pelajar tersebut yang telah mencapai rekod pemanduan paling lama dalam sejarah hidupnya. "Sampai saya kena berhenti empat kali di Hentian Gurun. Dua kali untuk berehat kerana terlalu penat," katanya lagi yang bakal menghadapi peperiksaan universiti minggu hadapan. "Saya tak study la hari ni," balasnya lagi sambil ketawa.

Berita-berita juga melaporkan bahawa mangsa bah telah pun meningkat sehingga mencecah 41,000 orang. Ambulans dan para petugas telah pun dikerah untuk berada di seluruh kawasan bah. Walau bagaimana pun, keadaan menjadi susah kerana ambulans tidak dapat melepasi air. "Kami akan gunakan bot," ulas seorang petugas di jalan Hutan Kampong.

Sumber

"Saya pernah datang ketika bah tahun 2005 tapi kali ini memang lebih teruk. Kami berharap semuanya akan jadi semakin baik," kata salah seorang pemandu yang datang dari Kuala Lumpur untuk ke Kangar untuk menghadiri mesyuarat penting syarikat.

Nota: 
- Yang penting, usaha. Allah tidak melihat hasil. Kalau benar niatnya, setiap usaha akan dibalas dengan balasan baik yang sempurna. 
- Walau bagaimana pun, kasihan buat pelajar tersebut, Bella, yang sentiasa berharap ibunya akan sampai dan menelefon setiap lima minit. Semoga setiap ujian menghapuskan dosa kita.

No comments: