Sunday, 3 October 2010

Semangat Yang Pulih


Kenapa jantung aku berdesir-desir?

Aku bergegas keluar daripada kereta. Dari jauh, kedengaran suara lelaki yang sudah hampir menghabiskan pengumumannya mengenai agenda majlis yang bakal berlangsung.

"...pada rakaat terakhir solat hajat ini kita akan sujud lama sedikit daripada biasa. Selepas itu, kita akan memulakan bacaan yasin. Sebelum itu, diminta semua untuk duduk dalam bulatan besar ya. Biar dua lapis pun tidak apa. Yang anak-anak duduk di hadapan ibu bapa..."


Suara yang latif itu begitu menusuk ke jiwa. Kenapa dada aku berdebar-debar?

"Alamak. Majlis dah mula sejak bila?" Bisikku sambil mengelak pohon-pohon kemuncup apabila merentas lapangan berumput.
Udara di sini membawa bau keanehan. Aku hampir sesak kerananya. Jiwa aku semakin bergetar tatkala aku menghampiri surau itu. Sekilas mataku memandang bilik-bilik di bangunan sebelah. Di dalam bilik-bilik itu terdapat beberapa buah meja dilengkapi paip-paip air, bikar-bikar yang tersusun di atas meja di tepi tingkap dan langsir panjang berwarna hijau gelap. Sekonyong-konyong aku ternampak budak-budak memakai songkok dan baju melayu lengkap berwarna putih serta memakai tudung hitam dan putih, aku jadi teringat diri aku sendiri ketika mengambil PMR suatu ketika dahulu.

"...boleh letak botol-botol air yang nak dibuat air yasin di tengah-tengah bulatan. Pihak sekolah juga ada sediakan air-air mineral untuk pelajar yang tak bawa air..."

Suara latif menyeru aku ke tahun PMR. Suatu masa di Sekolah Menengah Agama Persekutuan Labu.


Lalu cerita-cerita menyerbu.

No comments: