Sunday, 10 October 2010

Gulungan Rindu Buatmu Bonda 2


Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Segala puji bagi Allah yang tiadalah alam ini bertasbih melainkan kepada-Nya, serta selawat dan salam buat junjungan besar kita Nabi Muhammad Sollallahualaihiwasallam juga ahlul bait, para sahabat dan penerus sunnahnya. Semoga kita dikurniakan dengan syafaat baginda yang mulia.

Kehadapan bonda yang anakanda kasihi, cintai dan contohi,

Telah tertulislah warkah yang pertama ini setelah ayahanda anakanda telah berpergian meninggalkan kita di dunia, untuk menyambut seruan Tuhan di alam abadi. Anakanda mempersembahkan warkah yang tidak seberapa ini dengan harapan semoga bonda terhibur hendaknya.

Tiadalah yang lebih perit bagai ditikam-tikam sembilu rasanya apabila anakanda membayang bonda yang kejauhan. Tatkala bonda melayan sakit sunyi di sana, anakanda juga bagaikan paha kanan yang turut dicubit lalu jatuh sakit rindu juga rasanya. Ingin sekali merasa permainya negeri kita itu namun kapal anakanda ini gerangannya lambat sungguh akan berlabuh ke daratan. Entah berapa purnama bagaikan ratusan jua rasanya.

Anakanda sihat tapi sunyi lagi bonda. Begitulah khabar yang anakanda kirimkan dalam semua helaian warkah tiadalah sebab yang lain melainkan kerana rindunya anakanda pada negeri kita itu. Namun, perang ini masih belum berakhir. Telah banyak kubu-kubu setan dan ujian yang telah anakanda lalui. Setiap kalinya terluka di sini sana tetapi alhamdulillah syukur buat Tuhan Yang Maha Perkasa dan Bijaksana kerana anakanda masih boleh bangkit dan mengangkat jiwa anakanda di hujung mata pena. Anakanda ingin syahid bonda. Namun, kalau kata-kata gugur itu di sini bukanlah maknanya gugur berjuang, malah dituduh kita malas dan lembab pula. Itulah namanya gugur dalam penilaian. Gerun sekali anakanda setiap kalinya. Maka tatakala mendengar khabar anakanda gugur nanti, janganlah bonda suka pula.

Ridhailah anakanda yang sedang berjuang di kubu ini bonda. Hampir sahaja kubu ini runtuh. Hatta yang sebelah anakanda juga roboh. Yang lain berlarian bertahan di ruang lain. Anakanda tiada pilihan selain menahan kaki di dalam tanah. Roboh maka robohlah. Tunjangnya di hati masih kukuh keberadaannya.

 Semoga niat kita ini tepat dengan yang diridhai Tuhan bonda. Kerana usaha jika bersungguh sampai membawa ajal kalau salah niatnya maka tiadalah sampai amal itu ke langit. Terhijab dan terbang ditiup bayu penuh kesia-siaan. Ketahuilah bonda, menjadi anakanda kepada seorang bonda semacam bonda, tiada siapalah yang tidak mampu tidak ikhlas. Semoga Allah merahmati bonda dan tamu bayu di mana sahaja bonda menapak kaki dan jasad.

Akhir kalam, semoga kita bertemu kembali. Dan perihal Si Mat Keli itu, biarlah adinda anakanda sahaja yang mengambilnya. Anakanda sudah jumpa anak Sultan Melaka. Hujung perang ini bertemulah kiranya kita semua. Mohon doa bonda untuk semuanya.

Salam sayang,
Anakandamu.

No comments: