Saturday, 16 October 2010

Cerpan: Orientasi


     "Hye everybody. My name is Amy Mastura," kataku sambil malu-malu lalu kembali ke tempat duduk. 

     Aku lihat Puan Maria senyum.

     Sebenarnya aku bukannya sengaja nak memperkenalkan diri dengan nama Amy Mastura tetapi itu 'requirement' oleh Puan Maria pada hari pertama di dalam Set 5 Bahasa Inggeris. Set 5 merupakan set tercorot dalam seluruh tingkatan satu. Tidak mengapa kerana aku percaya ada hikmahnya mengapa Allah selalu memulakan perjalanan aku dari bawah. Aku selalu berharapan lalu berbisik kepada diri sendiri, "Aku akan jadi lebih baik." Dan hari ini kami tidak boleh memperkenalkan diri dengan nama sendiri, tetapi nama orang yang terkenal. Ah! Siapa yang tidak kenal dengan Amy Mastura, bintang filem 'Puteri Impian' itu?


    "I am Al-Biruni." Suara seorang pelajar lelaki yang begitu gah membuatkan aku terus mendongak memandang ke hadapan. Seingatku, suara itu begitu macho sekali. Aku tidak tahu siapa itu Al-Biruni. Aku juga malu untuk bertanya, juga malu kerana di dalam kepalaku aku hanya berkira-kira nak mengambil nama Amy Mastura, Ziana Zain atau Siti Nurhaliza sahaja.

     Dia ini mesti hebat orangnya, fikirku. Dia tahu nama yang ada 'Al-al-', nama orang Arab, bisikku sambil telan air liur. Aku memandangnya sehingga dia kembali ke tempat duduknya. Dia langsung tidak senyum. Dalam masa yang sama, tiba-tiba aku rasa menyesal kerana tidak memperkenalkan diri aku sebagai Princess Diana. 

     Minggu-minggu pertama di sekolah baru ini tidak bermula dengan baik buat aku. Sejurus tamat minggu orientasi tingkatan satu pada minggu pertama di sini, aku demam teruk. Entah aku tidak ingat berapa hari. Yang aku tahu, kakak ketua dormku sangat baik. Namanya Arifah, pelajar tingkatan enam atas. Sepanjang waktu aku demam, dia yang menjagaku seperti seorang ibu menjaga anaknya.

     Suatu hari ketika tempoh demam, dia memapah aku naik dari bilik sakit ke dorm di tingkat tiga. Ketika itu, mata aku kabur seperti siaran televisyen rosak. Dengan bantuannya, semuanya baik, kecuali ketika aku terhantuk besi katil ketika hendak baring. Kemudian, tergolek di katil merupakan suatu kenikmatan seolah-olah sudah sepuluh hari tidak baring, walhal, baru lima minit.

     Demamku ini pasti kerana rindu emak dan ayah di kampung.  Ini pertama kali aku dipisahkan oleh jarak geografi dan masa dari mereka. Aku akui aku juga penat sepanjang minggu orientasi. Kami kena bangun seawal lima pagi untuk beratur di bilik mandi. Kemudian, bersiap untuk ke perhimpunan jam 6.30 pagi selepas solat subuh berjamaah di musolla dan sarapan di dewan makan. Mesti berpakaian lengkap dengan tanda nama. Kalau tidak ada, tunggu masa sahaja untuk dimarahi senior-senior. 

     Senior Husna sangat cantik bagiku. Dan juga lembut. Namun, sudah tentu dia garang kepada pelajar tingkatan satu seperti kami. Aku yakin garangnya itu suatu kepura-puraan kerana ia tidak sesuai langsung dengan sifatnya yang lemah lembut semulajadi. Aku berazam ingin jadi secret admire Senior Husna. Aku berharap suatu hari nanti dia mengenali aku.

     Senior Dahlia pula sangat menakutkan bagiku. Gaya dan sifatnya berlawanan langsung dengan Senior Husna. Orangnya sentiasa bermata tajam, pandangan tembus lutsinar seolah-olah dengan mudahnya mencari kesalahanku sehingga ke lubang cacing. Cadar tak tegang! Badan bau kepam! Tak bagi salam! Kasut tak susun! Lewat baca Al-Ma'thurat! Bising! Mandi lama! Menangis homesick! Itulah suara Senior Dahlia yang kedengaran di semua ruang asrama saban hari ditujukan kepada beberapa orang pelajar tingkatan satu yang tertangkap membuat yang tidak kena di matanya. 

     Setiap hari merupakan hari yang mengerikan buat aku.

     Sepanjang masa, aku mencuba untuk menggunakan jalan lain yang jauh yang tidak menjadi laluan Senior Dahlia. Kalau terpaksa menggunakan tangga yang sama untuk naik ke dorm, aku akan panjatkan doa sebanyak bilangan anak tangga yang aku pijak agar dia juga tidak menggunakan tangga itu pada waktu itu. Alhamdulillah berhasil. Aku tidak pernah terserempak dengan dia.

     Setiap malam, kami semua dikendaki pergi ke kelas prep malam selepas solat isya' berjemaah.  Aku ditempatkan di kelas 1 Ibnu Haitham yang ditempatkan di blok yang paling hujung tetapi paling baru iaitu blok F. Kelasku juga adalah yang paling hujung di sebelah tangga dan tandas. Ianya di tingkat tiga, bersama-sama kelas 1 Al-Battani, kelas tingkatan enam dan tingkatan empat. Aku seringkali takut untuk berjalan di sepanjang koridor itu. Menjeling tidak berani apalagi memandang terutamanya kelas tingkatan empat.

     Kalau tertangkap memandang kelas tingkatan empat, habislah. Senior-senior akan menuduh kami cuba mengintai pelajar senior lelaki. Jika terjadi begitu, musnahlah dunia. Yang terlibat pasti takut untuk pulang ke asrama kerana senior-senior pasti sudah bersedia dengan senjata mulut.

     "Oooo! Berani skodeng atuk ya!"
     "Fewit! Cunlah sangat nak mengorat atuk tu!"

     Ini yang aku jangkakan akan berlaku. Pasti dijerit begitu dari seluruh sudut asrama. Dari tingkat dua juga tiga, juga dari blok A, B dan C. Aku bersyukur pada Allah, aku tidak pernah dituduh begitu. Mungkin kerana aku pandai membawa diri atau mungkin kerana wajahku terlalu tidak layak untuk dituduh senior untuk mengorat atuk-atuk.

     Atuk - gelaran yang dibolehkan untuk memanggil senior lelaki. Ini menggembirakan senior perempuan tetapi mungkin menyakitkan hati senior lelaki. Yalah, siapa tak marah jika umur baru belasan tahun dah dipanggil atuk. Bagiku ini tidak pernah menjadi masalah sebab aku hampir pasti yang aku belum pernah berinteraksi dengan senior lelaki, maka kedua-dua pihak senior tidak mungkin berang kepadaku. Lelaki -semacam dunia asing. Melainkan kepada yang duduk sekelas.

     "Wah! Rama-rama!" Jeritku teruja apabila ternampak benda bersayap indah itu di pintu kelas.
   
    "Ha ha ha! Rama-rama dan kupu-kupu pun tak kenal!" Jerit seorang budak lelaki bernama Ihsan dari kelasku yang tiba-tiba muncul di hadapan.

     Ya, aku berinteraksi dengan mereka. Namun, lebih baik tiada interaksi langsung kerana selalunya menyakitkan hati. Aku ini orang utara, serangga tu semua aku panggil rama-rama sepertimana aku panggil kasut untuk semua yang dipakai di kaki!

bersambung...

Sekolahku. Sumber: Google Maps

2 comments:

asma' said...

rindu sekolah!
wah, auni leh ingt detik2 orientasi? kite x ingt langsung..haha

Auni Al-Munashy said...

Ingat sikit-sikit, Asma'.
Inspirasi kisah benar saja, tak semua benar.
Watak-watak pun ditukar nama he he.