Sunday, 19 September 2010

La Taksal

ke-'M'-an melanda
 "Mulalah tu. Mak tak suka perkataan 'M' tu. Jangan sebut!" Tegur emak semasa saya kecil dahulu.

"Haaaa....'M'!" Satu lagi ayat emak yang saya ingat.

'M' itu tidak lain dan tidak bukan adalah MALAS! Semasa kecil dahulu, saya memang malas betul. Asyik kena marah saja. Kemudian, saya pun muncung sambil membuat yang disuruh dengan tidak ikhlas dan penuh protes. Teruk betul.

Sekarang tiba-tiba saya seperti dibelenggu dengan 'M' ini. Entah apa penyebabnya saya kurang pasti. Mungkin kerana disibukkan dengan perkara yang tidak disukai. Atau mungkin telah dilonggok dengan kenikmatan seperti tikus jatuh ke beras sehingga lupa diri.

Mungkin dua-dua.


Perubahan hidup: Suka menjadi tidak suka.

Ouhps, jangan salah sangka. Ini 'akh' kandung saya.
Aidilfitri kali ini memang berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya. Saya namakannya Aidilfitri +2-1 yang bermaksud bertambah dua orang tetapi berkurang seorang. Buat pertama kalinya tahun ini kami beraya bersama kakak-kakak ipar saya. Sangat menyeronokkan. Namun buat pertama kalinya, kami hanya beraya bersama ayah di tanah perkuburan.

Kini, segala-galanya telah berubah. Sejak ayah pergi, hidup saya telah sedikit sebanyak terkesan dengan kehilangannya. Saya yakin yang lain juga sama. Cara hidup telah berbeza, hubungan sesama sendiri berubah (bukti: lihatlah gambar di atas, itu pertama kali saya peluk dia), cara berfikir telah berubah dan begitu juga cara memandang masa hadapan.

Agaknya, cara pemikiran saya telah berubah lalu menyebabkan yang suka menjadi tidak suka. Lalu, perasaan tidak suka itu menghilangkan 'passion' dan 'motivation' saya terhadap apa yang saya lakukan sekarang ini. Saya sudah 'M'.

Pepatah Arab ada menyatakan, "Ijtihad wa la taksal fannadamah 'uqba limayyatakasal." (Bersungguh-sungguhlah dan jangan malas kerana penyesalan adalah akibat bagi orang yang malas!)

Oh! Saya tidak boleh 'M'. Kalau terpaksa memilih di antara yang disukai dan yang tak disukai, pilihlah yang tak disukai kerana yang disukai itu adalah pilihan nafsu. Sebagaimana Allah telah berfirman:

"Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa apabila dikatakan kepada kamu,"Berangkatlah (untuk berperang) di jalan Allah," kamu merasa berat dan ingin tinggal di tempatmu? Apakah kamu lebih menyenangi kehidupan di dunia daripada kehidupan di akhirat? Padahal kenikmatan hidup di dunia ini (dibandingkan dengan kehidupan) di akhirat hanyalah sedikit." (At-Taubah, 9: 38)

Dan ya, ayat ini menyokong kepada sebab kedua - saya telah menjadi seperti tikus jatuh ke dalam beras. 'Tikus' ini telah terperangkap, kekenyangan, muak lalu lemas di dalamnya.

Persediaan Menghadapi Perubahan Hidup

Muslim itu harus bersedia sentiasa. Dia juga harus bertindak balas sebaik mungkin dengan perubahan yang berlaku. Dia tidak harus leka dan lembab.

Cara untuk peka dengan perubahan (yang mampu memberi kesan negatif) adalah menyucikan segala deria yang dimiliki. Ianya mungkin hanya suatu 'reason' yang halus sebagaimana perlunya sebuah kereta dicuci untuk menjimatkan minyak. Namun, impaknya boleh menjadi besar ke atas diri sendiri.

Di antara jalan persediaan yang lain adalah membiasakan diri menghadapi risiko supaya jiwa menjadi lebih kental dan berani. Perasaan takut harus didepani dengan yakin. Sudah tentu, keyakinan itu datangnya dari Allah juga.

Maka, dalam maksud lain, keimanan kepada Allah dan Qada' serta Qadarnya juga perlu diperdalam dan dipertingkat, supaya hati menjadi redha dengan apa sahaja yang telah menimpa diri sendiri. Sesungguhnya, orang-orang yang tidak mengerti akan ketetapan Allah itu ialah orang yang telah digambarkan seperti dalam surah Fussilat ayat 49:

"Manusia tidak jemu memohon kebaikan, dan jika ditimpa malapetaka, mereka berputus asa dan hilang harapannya."

Hal ini begitu sinonim dalam diri saya dan kamu. Namun, kelemahan ini dijadikan alasan hanya oleh orang-orang yang tidak mahu menjadi yang terbaik pada pandangan Tuhannya.

Kesimpulannya, teruskan berjuang. Kita tidak tahu apa yang dibentangkan buat kita di hadapan, jadi kita tidak layak berputus asa. Jangan MALAS!


No comments: