Friday, 30 July 2010

Yosh!



Hari ini hari ke sepuluh pembelajaran di universiti. Aku masih lagi seperti biasa, berusaha mengikut arus kesungguhan belajar. Aku cuba meminati orang-orang yang yang fokus menghadap lecture slides di komputer-komputer library. Aku juga berusaha menjauhi jatuhnya pandanganku ke atas orang-orang yang leka menghadap games dan komik-komik di tempat yang sama. Yang aku katakan 'orang' itu bukanlah bermaksud jasadnya, tetapi semangat dan ruhnya.


Alhamdulillah, aku berjaya melangkah ke tahun keempat iaitu tahun terakhir dalam bidang kejuruteraan mekanikal ini. Walaupun langkah pertama ke semester ini penuh dengan cabaran dan kepayahan, semua itu perlu dipandang dari sudut yang positif. Hadith 4 perlu dihayati. Apa yang aku takutkan, bukanlah kepayahan dan kesakitan yang aku terima, kerana semua itu hanya akan menambah pahala jika aku terus bersabar dan bersyukur. Nun, jauh di suatu sudut di dalam jiwaku, aku begitu gentar dengan ujian kesenangan dan kelekaan.

Aku sering berwaspada dengan kemudahan dan kesenangan, lantaran itu adalah jalan singkat ke arah kemaksiatan. Mudah jika kita melalui kepayahan, kerana ia menambah pahala. Namun, kesenangan boleh membuka jalan pahala dan jalan dosa bersama seluas-luasnya. Ya, indahlah kalau aku menuju kepada jalan pahala. Kalau jalan dosa bagaimana?

Aku sering mudah menutup mata, beristighfar dan menggeleng-gelengkan kepala apabila melihat dosa terpampang jelas di hadapan mata. Namun, dosa yang tersembunyi di sebalik ruang 'kebaikan' aku abaikan. Sedangkan itu jelas menunjukkan tahap taqwaku yang rendah kepada Tuhan.

Ya Allah, jauhkanlah aku daripada kelekaan dunia. Pimpinlah aku walaupun bertatih sekalipun menuju ke jalan yang diredhai-Mu. Jauhkan aku dari prasangka kerana kebanyakan prasangka itu dosa. Jauhkan aku daripada kebakhilan beramal. Pimpinlah aku dalam menggapai cinta sejati-Mu.

Ya Allah, basahkanlah hatiku dengan zikrullah, sehingga mataku tidak ingin menjatuhkan pandangannya kepada yang selain-Mu.

Semoga lembaran baru terbuka buatku dengan kehadiran Ramadhan bulan barakah ini. Biarlah dunia dan seisinya berubah, namun janganlah biarkan hatiku ini menyimpang dari cinta-Mu wahai Tuhan Yang Membolak-balikkan hati.

Amin ya Rabbal 'Alamin....

Bukanlah Allah yang menzalimi manusia, tetapi manusia itu yang sering menzalimi diri sendiri. Aku ingin berazam untuk menjauhkan diri daripada segala kezaliman, noda dan kesia-siaan itu. Menjadi aku pada waktu ini memang mencabar. Menjadi pelajar perempuan dalam bidang kejuruteraan memang mencabar walaupun bagus kerana keberaniannya. Cabaran ini tak akan aku biarkan sehingga menjatuhkan iman dan jati diri aku.

Syuh dunia! Syuh dunia!

Di Monash yang lain daripada yang lain ini, aku tetap hamba Allah, dan aku tetap sedang berjalan di atas bumi-Nya.

Rindu mak dan arwah ayah.

2 comments:

HaYaTi said...

Amin....

doakan saya juga ya Auni. Moga kita tsabat hingga ke akhirnya....

aunaz fifteena said...

Amin.