Saturday, 10 July 2010

Sell-fish


Dahulu, kita ini ingatkan orang yang menjual ikan semuanya adalah jenis-jenis yang mementingkan diri sendiri. Ini kerana tafsiran yang salah akan perkataan 'self-ish' menjadi 'sell-fish'.

Apa itu pentingkan diri sendiri? Bila waktunya kita pentingkan diri sendiri? Berapa kali dalam sehari kita pentingkan diri sendiri?


Kita ini bila difikirkan sepanjang masa fikirkan untuk sendiri sahaja. Tatkala kita fikir yang semua orang harus menerima takdir semacam kita ini, beria-ia kita meletakkan salah kepada mereka. Itu namanya pentingkan diri sendiri. Walhal kita tidak faham yang dia itu sudah hidup berapa lama dengan kekasihnya itu. Kita ini lupa yang kekasihnya itulah kawan baiknya, kepala keluarganya, juga bapa kepada anak-anaknya. Keduanya semacam belangkas selama puluhan tahun tambahan pula kita anak-anaknya yang ramai ini  tiada guna kerana merantau jauh semuanya pula. Maka jika ia sama kekasihnya terpisah buat selama-lamanya secara mendadak begitu, tidak haruslah terkejut jika jatuh gering atau rindu.

Kita ini pula... tenang sama ada kerana kuat fikrahnya kah atau kerana kurang akrabnya kah kita tidak tahu.

Yang beria-ia berkata 'kami ada di sisi kamu' juga ada yang jenis pentingkan diri juga. Kerana beraksinya begitu ada yang kerana ingin mendapat harga diri kerana kebiasaan menunjuk tanda kasihan begitu di hadapan khalayak. Terbukti pula kerana batang hidungnya juga tidak nampak selepas itu.

Yang kita menuduh ia begitu, ya, juga semacam pentingkan diri bunyinya. Menuduh orang segala.

Juga yang sakan menabur kata-kata rindu, juga yang memberi harapan. Yang ini bukan batang hidungnya, bekas nafasnya juga tidak pernah sampai ke kita. Kita pun tidak pasti yang rindu dan cinta dia tu entah asli atau tidak. Kamu benar-benar atau tidak ini? Kita sudah hampir membuang percaya.

Yang kita menuduh begini pun dikira pentingkan diri sendiri juga. Aduh.

Semua orang mementingkan diri sendiri. Tidak kiralah ia sedang sedih atau bahagia, sunyi atau ramai, kehilangan atau kedapatan. 

Namun, kalau bisa, kita ini mengharapkan semua orang cakap serupa bikin (termasuklah kita ini).

No comments: