Thursday, 22 July 2010

The 'A' List


Sejak berminggu-minggu yang lalu, saya telah mencuba beberapa kali untuk menulis di sini. Namun, yang tinggal hanyalah pos draf yang kosong. Mungkin kerana terlalu banyak yang saya ingin ceritakan dan banyak pula yang saya rasakan perlu untuk ditapis. Ia berakhir dengan hasil yang kosong. Apabila difikirkan kembali, elok sahaja jika saya menaip sahaja apa yang bermain dalam hati saya, malas memikirkan apa kesannya. Saya berharap tiada sesiapa yang membaca ini. Seperti dalam drama-drama, perasaan ini adalah perasaan fantasi seseorang yang ingin meluahkan sesuatu tetapi tidak ingin diketahui oleh orang lain. Saya ingin menulis di atas helaian kertas, memasukkannya ke dalam botol dan mencampakkannya ke tengah laut. Itu mustahil kerana laut jauh dari sini. Saya juga ingin menjerit dari atas bukit dan membuka telinga sendiri kepada gemanya. Namun itu juga mustahil kerana tidak mungkin saya mendaki bukit sendirian.

Kehidupan tanpa cabaran dan ujian bagaikan kertas peperiksaan universiti yang tidak berkualiti. Hatta filem, novel dan drama juga dimestikan mempunyai konflik dan jalan cerita yang mencabar perjalanan watak dalam cerita berkenaan. Nilai watak itu akan terhasil melalui penilaian ke atas perubahan yang dialami setelah konflik. Nilai-nilai inilah yang dicari oleh penonton atau pembaca. Jika watak tidak diuji, nilai-nilai baik atau buruk tidak terbit dalam pemerhatian lalu watak itu tinggal sebagai watak 'lame' yang disogok-sogok nilainya melalui skrip yang semestinya 'lame' (kerana tidak ada konflik). Lalu, filem itu tidak layak mendapat rating box office dan novel tidak layak mendapat rating best seller. 

Begitu jugalah realiti kehidupan manusia, apabila ujian dan masalah melanda, manusia sepatutnya berasa bangga kerana ujian ini bakal membantu membina perwatakan dalam dirinya untuk lebih berkembang dan matang. Namun, manusia terperangkap di dalam rasa sugul mereka sehingga hidup ini dirasakan tidak lagi berwarna-warni. Mereka merasakan yang pertolongan Allah tidak akan datang. Seringkali pula merasakan bahawa musibah ini datang kerana kesalahan-kesalahan mereka semata-mata, bukannya ujian. Walhal, Allah telah menyuruh kita menggantung diri di langit jika kita berfikir yang pertolongan Allah tidak akan datang. Dan walhal Rasulullah juga bersabda yang musibah itu tidak semestinya datang kerana kesalahan kita.

Adakalanya apabila saya memandang hidup ini sebagai suatu pentas lakonan, saya rasa lega dan gembira. Namun, kamu tidak akan mahu tahu perasaan kehilangan seorang ayah. Believe me, you don't want to know. Pada awalnya saya sangka ianya mudah kerana saya ini jenis yang selalu mengambil masa untuk memahami sesuatu. Jadi, dua minggu yang pertama saya berasa tenang dan sihat. Malangnya, masuk minggu ketiga, malam itu saya bermimpi yang masa kembali ke tahun 2009. Saya tanya kepada seorang rakan saya, kenapa masa berpatah balik? Sedangkan itu tidak logik dan mustahil. Dia kata, ia tidak mustahil. Saya pula masih ragu-ragu dan tidak berpuas hati. Tiba-tiba ayah melangkah masuk ke dalam rumah. Ayah baru pulang dari kerja. Saya terkedu. Dan kemudian, baru saya teringat waktu itu ialah tahun 2009. Saya rasa sangat bahagia kerana saya masih dapat berjumpa dengan ayah. 

Hakikatnya, setiap orang pasti terjaga daripada mimpi-mimpi. Dan kebanyakan daripadanya mengecewakan.

Selepas itu, saya demam berhari-hari. Sehingga pulang ke universiti untuk memulakan semester baru pun, saya rasa sakit setiap masa. Saya cuba menyibukkan diri dengan kerja dan aktiviti. Tarbiyyah perlu dikuatkan, kerana hati yang sakit perlu diubat dengan ubat hati. Ubat hati ialah tarbiyyah. Rindu dan cinta kepada Allah perlu diperdalam. Taqwa perlu diselam.

Kehilangan ayah merupakan suatu kehilangan yang sangat besar dalam hidup. 'A' ini telah tiada, namun 'A' lain masih ada. Allah, Al-Quran, Abang, Adik, A.... the list goes on. 

Ayah telah tiada, ramai pula kenalan yang datang untuk ambil kesempatan. Ada yang ingin mengambil lesen kerja ayah untuk kebaikan dirinya, dengan alasan membantu kami menguruskan kerja ayah. Semoga ia bertaubat, kerana teruk azabnya jika memakan harta anak yatim. Apatah lagi menganiaya mereka.

Mak kata ayah sangat sayangkan saya. Pada hari-hari yang istimewa, dia akan menunggu ucapan dan sms daripada saya. Dan apabila dia menerimanya, dia tidak akan berhenti senyum untuk sepanjang hari. Dia pernah memberitahu saya sekali bahawa dia sangat berbangga memiliki saya sebagai anak yang sempurna serba-serbi. Namun sekarang, saya rasa teruk dan tidak berguna kerana anak yang dikatakan sebagai 'sempurna serba-serbi' ini tidak mampu berbuat banyak benda untuk memudahkan perjalanan ayahnya dalam dunia barunya.

p/s: Terasa seperti sedang menulis novel.


5 comments:

Anonymous said...

ayah sakit ape?

aunaz fifteena said...

serangan jantung kerana badan terlalu penat. meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke hospital.

Anonymous said...

stroke ke?

Anonymous said...

ayah terllau kuat kerja ye?

aunaz fifteena said...

ya, betul tu.