Wednesday, 23 June 2010

Yeh Dil



Biarlah di ruang mana pun kita berdiri atau di sudut mana pun kita duduk, kita tetap hamba yang memegang panji-panji amanah dan janji kepada Tuhan. Kita semua mengimani Tuhan yang sama. Kita meneladani Rasul yang sama. Kita berjuang demi agama yang sama.


Apa yang kita takutkan, bukanlah soal ruang atau sudut mana untuk menjadi tempat juang kita tetapi kita takut apakah kita akan terus kekal di sudut atau ruang ini. Adakah jiwa kita cukup kuat untuk bekerja demi mencari redha Allah?

Kita gentar dengan arus niat kita sendiri. Adakah kita ini hanya ikut-ikutan atau mencari jalan selamat ke arah kebaikan semata-mata? Kita risau jika tali juang kita terputus rohnya dengan matlamat kita dengan Yang Maha Tinggi. Sudahlah perjuangan kita entah ikut-ikutan atau bermain-main, perhambaan kita pada Tuhan entah sejati atau tidak. Mana ihsannya kita terkadang peduli.


Kita mahu menjadi orang yang hatinya banjir dengan limpah cinta kepada Allah sehingga tidak ada ruang untuk rasa lain. Kita ingin menjadi orang yang membenci kepada yang berlawanan dengannya dan kita ingin tidak peduli kepada yang selainnya yang sia-sia.

Kita ingin jadi orang yang tajarrud segala-galanya sehingga yang tinggal hanyalah ikatan dengan-Nya. Namun, seringkali kita menjadi makhluk solo yang hidup di atas nama dunia seolah-olah boneka yang tidak bertuan. Kita jarang sekali bersyukur dan sering terjatuh ke dalam ruang hati tahap muslim biasa. Jahiliyyah yang disalahkan kerana berleluasa lalu mempengaruhi hati. Tidak pula kita meletakkan blame pada deria-deria dan hati kita ini yang tidak bertapis.

Kita ini beria-ia ingin meruntuhkan tembok Israel. Kita beria-ia ingin membebaskan Palestin. Terkadang terlalu bersungguh sehingga terlupa berdoa kepada Allah, Penguasa manusia-manusia. Kita risau jika kita seronok berkempen kerana rasa gah dan marah semata-mata, lalu akhirnya jika disemak tidak ada pun redha Allah dalam senarai niat kita. Kita tidak pula berusaha mengukuhkan saf-saf Islam di sekeliling kita. Kita syok sendiri.

Manakan mungkin mulut berbuih-buih menasihati manusia lain tetapi hati sendiri kosong? Manakan mungkin bersusah-payah berjalan jauh atas nama perjuangan kononnya tetapi yang terhasil hanyalah penat-lelah yang sia-sia? Mengapalah kita berusaha merugikan diri sendiri dengan mengadun debu-debu kosong di jalanan?
Mungkin kita menunggu bata kita jatuh sendiri daripada tembok dek kerana reput dan graviti.

p/s: hai dil, kaha hai tumhare taqwa?

1 comment:

HaYaTi said...

thanks for the reminder. sgt best!