Monday, 14 June 2010

“Bacakan Padaku Al-Ma’un”





Aku sedang melayan fikiranku apabila aku tersedar lelaki itu memandangku dari luar tingkap kereta. Tua, janggutnya putih dan berbaju lusuh. Dia mengandar bungkusan besar di bahunya. Nun di hadapan sana, ada seorang lagi lelaki tua yang sama wataknya dengan pak cik ini. Juga mengandar bungkusan besar. Aku pandang dia, sedikit ketakutan.



Dia senyum lalu membuat isyarat apa aku tidak tahu. Mungkin meminta aku menurunkan cermin tingkap supaya dia dapat bercakap denganku. Mungkin aku ketakutan dan tidak mahu melayan kerana aku tidak mahu beli barang-barang yang ia ingin jual. Aku menolak permintaanya untuk membuka tingkap. Aku menggeleng-gelengkan kepala sambil tersengih ketakutan. Dia pun berlalu pergi.

Lantas tidak semena-mena berlagu dalam kepalaku,

Tahukah kamu orang-orang yang mendustakan agama?

Ketika itu pak cik itu masih dekat. Baru sahaja melintasi bahagian hadapan kereta. "Astaghfirullahal 'azim," ujarku beberapa kali.
"Apa saya dah buat ni? Apa saya dah buat ni?" ujarku macam orang gila.

Itulah (orang) yang menolak anak-anak yatim. Dan tidak mengajak memberi makan orang miskin.

Kepalaku dihantui lagu-lagu al-Ma'un. Aku jadi sakit. "Pak cik, patahlah balik. Pak cik," entah kepada siapa aku merayu ketika itu, aku pun tak tahu. Rayuan disambut oleh air mata meleleh-leleh.

Maka celakalah orang-orang yang solat.

Aku rasa jantungku sakit apabila melihat pak cik itu pergi semakin jauh. Aku ingin keluar dan berlari ke arahnya. Ingin saja aku beli semua yang dia jual tidak kiralah benda apa pun tapi mungkin aku pula yang akan menakutkan pak cik itu. Pak cik itu sudah jauh dan menghilang.

Yang lalai dari solat mereka. Yang bermuka-muka. Dan yang enggan memberikan bantuan.

"Minta maaf, pak cik," ulangku berkali-kali sambil menukar gear kereta. Kereta sudah berlalu jauh tapi hatiku tertinggal di sana, mencari-cari pak cik itu macam hantu. Jiwaku sakit betul. Sakit betul! Tanganku menggeletar. Aku tidak tahu nak cakap apa lagi. Hilang. Segala-galanya yang aku buat selama ini terasa hilang macam abu berterbangan…

Aku telah celaka. Aku telah celaka.

Al-Ma'un berlagu dalam kepala, menyanyi-nyanyi. Jiwa membengkak seperti ditikam duri dari dalam. Mata gelap, pandangan selepas itu tiada warna lagi. Aku tidak tahu kenapa.
Oh, pak cik! Mulianya engkau kerana 'membacakan' kepadaku al-Ma'un. Sehingga naik gila dibuatnya. Aku risau, apakah aku telah berbangga dengan darjat sehingga bertindak seperti kebiasaan orang-orang lain –menolak kerana berasa hina.

Aku tidak menyayangi orang miskin. Juga tiada pandangan kasih buat mereka. Jika kasih, tidaklah aku takut-takut dan menolak dengan sengih begitu. Aku yang celaka, yang bermuka-muka. Aku telah lalai sehingga amalku terasa terlupus dek kerana rasa banggaku.

Celakalah aku dan orang-orang yang mencipta alasan untuk menghina orang miskin. Bolehlah katakan yang mereka diupah seorang sindiket jahat. Katakanlah mereka berpura-pura tunjuk miskin kerana menagih simpati untuk berniaga. Katakanlah mereka itu ini. Tuduhlah lagi! Tuduhlah lagi!

Apa hak kau untuk enggan memberikan bantuan? Hatta pengemis pun dilarang diherdik. Hatta yang meminta-minta pun dilarang diabaikan. Apatah lagi orang yang berniaga? Dia bukan meminta-minta, dia ingin jual sahaja bukan minta apa-apa. Apa hak kau untuk berasa begitu. Takutkah engkau kerana jelik? Kaulah jelik kerana disumpah Allah sebagai orang yang mendustakan agama!

No comments: