Tuesday, 18 May 2010

Enam Kemungkinan

KUALA LUMPUR, 15 Mei – Ketua misi konvoi Malaysia yang akan menyertai konvoi kapal ke Gaza, Sdr Noorazman Mohd Samsuddin, menyenaraikan enam kemungkinan yang bakal dihadapi oleh konvoi apabila berdepan dengan kapal perang Israel.

Kemungkinan pertama ialah semua kapal dan anggota konvoi dibenarkan berlabuh di Gaza tanpa apa-apa halangan. Kebarangkalian untuk senario ini berlaku adalah sangat tipis.

Kemungkinan kedua, konvoi akan disekat dan ditahan di tengah-tengah Laut Mediterranean untuk satu jangkamasa yang panjang. Israel juga mungkin akan menyerang pelabuhan Gaza untuk menghalang kapal-kapal daripada berlabuh.
Kemungkinanan ketiga, kapal-kapal konvoi akan dirampas dan peserta-peserta ditangkap oleh pihak berkuasa Israel. Tindakan ini akan menyerlahkan lagi kekejaman rejim Israel dan akan mengundang lebih banyak simpati daripada warga dunia kepada perjuangan membebaskan Gaza dan Palestin.

Kemungkinan keempat, kapal perang Israel akan menembak dan melanggar kapal-kapal konvoi. Kebarangkalian untuk senario ini berlaku adalah rendah walaupun bukan mustahil. Ini kerana tindakan menembak dan melanggar kapal-kapal konvoi adalah seumpama pengisytiharan perang Israel terhadap seluruh dunia.

Empat senario di atas adalah adalah senario yang disenaraikan oleh penganjur utama konvoi iaitu Pertubuhan Hak Asasi dan Bantuan Kemanusiaan (IHH) yang berpengkalan di Turki.

Selain daripada empat senario di atas, Noorazman menyatakan terdapat dua lagi kemungkinan yang boleh berlaku, iaitu kemungkinan wujud unsur ‘duri dalam daging’ atau sabotaj dari dalam. Ini adalah ujian yang paling getir untuk konvoi. Oleh sebab itu para peserta konvoi disaring dan dipilih dengan teliti oleh IHH.

Senario terakhir yang mungkin berlaku ialah konvoi akan dipaksa untuk berlabuh di Ashdod, sebuah pelabuhan Israel. Barang-barang muatan akan diturunkan untuk diperiksa dan sekiranya pihak berkuasa Israel berpuas hati, mereka mungkin akan membenarkan kemasukan barang-barang ke Gaza melalui jalan darat. Perkara ini dilaporkan oleh Jurusalem Post yang memetik kenyataan seorang pegawai daripada Kementerian Pertahanan Israel awal bulan April yang lalu.

Sdr Noorazman menyeru seluruh rakyat Malaysia agar memperbanyakkan doa dan munajat. Beliau juga bagi pihak peserta-peserta konvoi dari Malaysia memohon kemaafan atas segala kesilapan dan kesalahan yang telah dilakukan.

“Sekiranya kami tidak pulang ke Malaysia, maafkanlah kesalahan kami, halalkanlah makan minum kami dan bantulah keluarga kami.” -ihhh
 
Sumber - sini on Enam Kemungkinan bagi Konvoi ke Gaza

No comments: