Friday, 30 April 2010

Layangan Rindu Buatmu Bonda 2


Bonda,


Di kesempatan yang kosong ini anakanda ingin memohon ampun jua. Dagang solehah apakah ini, yang mampu membuat seorang anakanda tidak berkhabar berita bertepuk tampar berkirim cinta buat bondanya. Hatta berkira-kira purnama sekalipun, bertambah malu anakanda dibuatnya. Bukan mengurang perasaan.

Ribut apa yang melanda fikiran anakanda, hingga wajah bonda memekat-mekat dalam hati. Malu jualah mahu bilang. Anakanda memohon ampun lagi. Bukannya anakanda hanya mengingat bonda semasa beronak duri. Cuma begitu hebat kuasa seorang bonda yang dekat sejak di perut, menatang senang dan susah, sehingga anakanda menjadi kabut jika tiada bonda.

Alhamdulillah, bonda. Cinta anakanda semakin habib jadinya. Bagai berwayang di depan mata, Allah layarkan pengorbanan dan kasih bonda ayahanda. Maka, baru berpisah jadi makin rindu pula. Semakin sakit selepas berubat. Agaknya, langit dan laut semakin bertemu. Birunya semakin jadi satu. Anakanda keliru dengan birunya sehingga jatuh maridh.

Sudah hampir separuh purnama maridhnya, bonda. Entah penyakit apa ini.

Bonda,

Dingin perang sudah sampai. Anakanda perlu perkuatkan benteng. Iman manusia bukan sembarangan, bonda. Jikalau belum berakar kuat bagai hadid, dikuis sedikit sudah tergolek, apatah lagi jiwa anakanda yang baru berbenih imannya. Terkadang bersungkur sujud cinta iman, terkadang tersentap bersenda bersama fitnah. Semoga bonda kuat berdoa untuk anakanda seperti sebenar-benarnya anakanda berada di medan perang. Anakanda jua kuat benar doanya. Sampai terkadang melampau di bilik kecil bertangis derai mengingat bonda dan tamu bayu.

Belum puas rasanya berkasih dengan bonda. Alangkah indahnya kalau kasih kita bertambah dengan sulam cinta kepada Allah dan Rasulnya. Biar terikat dengan rintih dan selawat. Di sini ada pula saudari-saudari yang berkasih-kasih dengan anakanda. Terubat juga rindu anakanda. Semoga bonda terubat rindu dengan adanya ahli tamu bayu yang baru. Namun, kasih manusia hatta sehebat kisah mana-mana bonda anakanda sekalipun tidak ada apa-apa kualitinya jika tiada taqwa kepada Tuhan. Ridha Tuhan datang dengan adanya taqwa. Syurga datang dengan adanya ridha Tuhan.

Jikalau anakanda ingin bawa tamu anakanda, ingin sahaja yang dekat-dekat macam Qataha sahaja. Pokoknya supaya tiada terlalu jauh pandangan mata dengan bonda. Ini senda gurau sahaja.

Akhir kalam, saadahlah bondaku selalu dengan iman dan amal.

Yang jauh,
Anakandamu.


Warkah 26 Julai 2008; Warkah 24 Jun 2008

No comments: