Thursday, 1 April 2010

Citarasa Muslim Terhadap Kasut


Sudah beberapa kali saya ditegur tentang *kasut yang saya pakai apabila berjalan beriringan dengan sahabat-sahabat. Ada yang tegur, kenapa bunyi kasut pelik. Kadang-kadang bunyi pang pang pang, di masa yang lain bunyi sret sret sret pula. Takut bunyi menarik perhatian, lalu saya pun sekarang mula berfikir-fikir untuk membeli kasut baru. 

Saya duduk di kaki lima, merenung tapak kasut saya. Batu-batu kecil tenggelam di dalam tapak kasut, macam komet menghentam bulan. Itu yang menyebabkan bunyi sret sret sret. Tapak haus sehingga menampakkan bahagian lapisan keras di dalam kasut. Itu yang menyebabkan bunyi pang pang pang. Rupa-rupanya kasut saya sudah sangat kronik. 

Sebenarnya, itu bukan kasut saya. Itu kasut lama emak saya. Kebanyakan barang yang ada pada saya adalah milik emak saya. Hampir kesemua baju, tudung dan beg saya adalah milik emak saya. Jadi, saya tidak pandai membeli-belah, tidak ada taste dan passion untuk keluar membelek-belek pakaian dek kerana jarang membeli-belah. Saya selalu tercangak di depan rak yang sama selama lebih sepuluh minit kerana tak pandai memilih biskut atau sabun basuh. 

Sangat payah jika tidak pandai membeli-belah, sangat payah pula kalau terlebih pandai membeli-belah. Perlu menjadi sederhana.

Citarasa Muslim

Seorang muslim sepatutnya mempunyai citarasa yang tinggi mengenai kasut. Atau mungkin, sekurang-kurangnya dia memiliki ilmu tentang kasut melebihi orang lain. Ini disebabkan natural kasut itu berada di bawah dekat kaki, jauh daripada pandangan. Namun, seorang muslim sentiasa tunduk dalam pandangannya. Jadi, setiap hari dia banyak melihat kasut daripada atau perkara lain. Secara tidak langsung, perlakuan ini menyebabkan dia memiliki banyak pengetahuan tentang kasut.

Kasut yang sedap dimakan.

Maka, dia juga perlu memakai kasut indah yang menyejukkan mata supaya sejuk mata orang-orang muslim yang lain he he.

“Janganlah seorangpun daripada kamu berjalan dengan memakai satu kasut sahaja. Pakailah kedua-duanya bersama atau lepaskanlah kedua-duanya bersama.” (Hadits Riwayat Muslim)

Allah itu cantik dan suka kepada yang cantik. Dalam pemakaian kasut pun, Islam mementingkan keindahan dan kekemasan. Citarasa muslim terhadap kasut -sangat tinggi.

*Saya merujuk kepada sandal. Selalunya orang utara semenanjung menyebut sandal, selipar, kasut dan sebagainya dengan perkataan 'kasut'.

p/s: Mak pun marah asyik pakai kasut tu sahaja.

No comments: