Wednesday, 17 March 2010

16 Mac 2010


Hari ini saya kena marah sebab hampir melanggar sebuah kereta di sebuah simpang di Taipan USJ. Saya ingatkan jalan itu adalah jalan sehala dan mata saya pula galak melilau mencari TMPoint. Akhirnya saya hampir melanggar sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki. Di sebelahnya mungkin isteri dan anaknya. 

Oleh kerana tidak ada apa-apa sentuhan luar berlaku, saya pun teruskan memandu tanpa menyedari bahawa kereta tadi berpatah balik dan mengikut kereta saya dari belakang. Saya hanya menyedari apabila dia membunyikan hon beberapa kali. Saya berhenti ke tepi.

Dia memberi isyarat supaya saya keluar daripada kereta. Kemudian, dia marah saya, bawa kereta macam mana, katanya. Tak tengok kiri kanan.
"Minta maaf, encik. Saya tak nampak tadi. Kereta encik tak apa-apa ke?" Kataku.

"Kereta tak ada apa-apalah tapi anak saya terhantuk tadi sampai menangis," marahnya lagi.

Saya memandang ke arah keretanya. Ternyata ketika itu, saya dan si isteri yang berada di dalam kereta bertentang mata. Si suami marah lagi. Yang saya ingat, dia katakan sesuatu yang bermaksud Selangor ni lain. Mungkin kerana dia lihat nombor plat saya PGT.

"Minta maaf, encik. Tadi, saya ingatkan jalan tu one-way, sebab kebanyakan jalan yang saya lalu tadi one-way. Saya tak perasan kereta encik. Anak encik tak apa-apa ke? Nak saya bawa ke klinik?" Kataku.

Dia tak jadi marah agaknya. Dia meminta diri selepas berkata, "Anak saya tak apa-apa. Tak apalah."

Alhamdulillah.... "Maaf ya, encik!"

Macam itulah pengalaman pahit manis memandu ni. Tidak manis kalau tak bertembung, kena marah dan tidak indah kalau tak kena saman =P

Tapi teruk betul. Banyak kes. Walhal baru setahun memandu secara konsisten. Lain kali berhati-hati.

Menulis tentang kereta, baru saya teringat untuk mengenang kembali benda-benda pelik yang berlaku antara saya dan kereta. Dahulu, saya pernah bising sebab semut bersarang dalam laptop. Dan kali ini, semut bersarang dalam kereta pula. Aduh.

Saya pula telah memandu tanpa lesen sah (tamat tempoh) sepanjang 3 bulan praktikal di Seremban. Gerun apabila memikirkan saya sering ulang alik di lebuh raya tanpa izin! Saya hanya menyedarinya apabila telah memulakan semester baru di universiti. (Tolong jangan laporkan!)

Namun, banyak sangat perkara manis dan mampu saya kumpul dalam ingatan. Saya sayang PGT saya, sebab dia peneman saya sebagai seorang 'abid dan khalifah di muka bumi ini. Kereta saya sangat banyak menyumbang ke arah pentarbiyyahan saya. Saya sangat bersyukur kerana diberi peluang memandu oleh Allah. Kalau Allah kata 'jadi', maka jadilah ia.

Maha Suci Tuhan yang telah memudahkan kenderaan ini untuk kami, sedang kami sebelum itu tidak terdaya menguasainya. Dan sesungguhnya kepada Tuhan kamilah, kami akan kembali! 
(Az-Zukhruf, 43: 13-14)

Sepanjang hampir empat tahun memegang lesen kereta, saya juga menghafal jenis-jenis kenderaan yang saya pernah pandu. Hanya untuk suka-suka. Antaranya ialah Myvi EZi, Myvi SE, Atoz, Unser, Naza Ria, Satria Neo, Kia Spectra, Mercedes Benz Kompressor C200, dan lain-lain (tak ingat).

Saya juga ada lesen motosikal tapi nak elak kucing pun menjerit bila menunggang pergi pasar pagi. Dulu masa tahun 2006, motosikal yang saya tunggang pernah hampir terbalik depan kedai mamak dek kerana kaki tak kuat nak tahan. Semua orang pandang. Malunya.

Tapi saya berangan-angan juga nak tunggang motosikal berkuasa tinggi he he.

Mak dan ayah saya.

Utara Bikers Club

No comments: