Friday, 26 February 2010

Kata Kuncinya Adalah Usaha.


Saya sedang bercakap tentang sebuah hidangan mewah yang sangat sedap. Hidangan itu terdiri daripada pelbagai makanan daripada jenis yang anda sukai, tersusun dengan aturan rasa dan warna yang menggamit. Hidangan itu telah sedia di depan mata, tinggal anda sahaja untuk mengambil dan menikmatinya sepuas hati kerana hidangan itu milik anda!

Malangnya ramai sekali di antara kita tidak memandang hidayah Allah sebegitu. Kita memandang hidayah seperti suapan makanan yang enak setelah meminta dari jauh.

Semua ini ditujukan buat mereka yang mengaku Allah sebagai Tuhan mereka. Buat mereka yang telah setuju bahawa kebaikan akan membawa ke syurga. Saya bercakap ini kepada mereka yang yakin bahawa segala dosa akan membawa ke neraka. Saya tidak tujukan ini kepada orang yang tidak tahu syurga neraka dan tidak pula kepada mereka yang tidak kenal Tuhan kerana mereka memang tidak pernah percaya kepada hidayah. Saya hanya menceritakan ini kepada mereka yang telah beriman kepada islam yang mencari-cari jalan untuk dekat dengan Allah. Juga orang yang ada keinginan untuk melihat Allah di syurga. Juga untuk orang yang ingin mencintai Allah dan Rasul tetapi tidak tahu bagaimana.

Saya ingin mengetuk anda yang tidak sedar dari mimpi-mimpi bahawa anda akan jadi baik dengan sendirinya. Saya ingin memberi tamparan kepada anda yang menjalankan kebaikan dalam diri melalui niat dan impian semata-mata. Juga buat anda yang merancang untuk jadi baik hanya pada masa sekian-sekian.

Sungguh tidak logik jika anda ingin mendapatkan sesuatu tanpa berusaha. Ia sungguh bertentangan dengan sunnatullah dan tidak bersesuaian pula dengan keperluan dan kehendak dunia. Sebagaimana yang telah difirmankan Allah:

"Bagi manusia ada malaikat-malaikat yang selalu mengikutinya bergiliran, di hadapan dan di belakangnya, mereka menjaganya atas perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah mengehendaki keburukan terhadap sesuatu kaum, maka tak ada yang dapat menolaknya, dan sekali-kali tidak ada pelindung bagi mereka selain Dia." (Surah Ar-Ra'd: ayat 11)

Iman patut terzahir pada seluruh kehidupan

Iman adalah sesuatu yang tidak dapat dilihat oleh manusia biasa. Namun, ukurannya dapat dijangka daripada apa yang dizahirkan manusia itu sendiri. Iman boleh terkukuh pada nilai manusia melalui pelbagai aspek. Ada yang akhlaknya mantap tapi ibadahnya biasa dan baik sahaja. Ada yang ibadahnya hebat tetapi sosial dengan manusianya kurang bagus. Ada pula yang berkepimpinan tapi mungkin bahagian ilmunya biasa sahaja. Kesimpulannya, setiap manusia ada personaliti masing-masing. Personaliti ini pula merupakan kekuatan yang ada pada mereka. Namun, hairan sungguh apabila mereka meletakkan kekuatan mereka di luar Islam dan hanya menjadi islam apabila ingin solat, mengaji, bernikah dan mati!

Kita telah mengenal khalifah kita Abu Bakar r.a dan Umar r.a. bagai mengenali keluarga sendiri. Kedua-duanya merupakan pendokong islam yang kuat. Namun personaliti mereka jauh berbeza sama sekali. Abu Bakar dengan sifat pendiam dan lemah lembutnya manakala Umar pula dengan sifat garang dan tegasnya. Tidak pernah pula islam cuba menukar personaliti, watak dan minat mereka ke arah yang lain. Mereka masih membawa perwatakan mereka seperti sebelum islam. Bezanya sekarang mereka menjadi islam dan memegang sumpah setia bahawa tiada Tuhan melain Allah, Muhammad itu pesuruh Allah! Mereka dipandang tinggi sehingga kini oleh kita semua.

Mengapa roh yang anda rasai ketika sedang membaca buku-buku universiti, membuat aktiviti rekreasi, mengambil foto-foto cantik, melancong, tidur dan makan tidak selari dengan apa yang anda tumpukan ketika solat? Mengapa anda memakai sopan hanya apabila menghadiri ceramah dan majlis buka puasa tetapi tidak pula ketika pergi ke kuliah? Mengapa anda berasa malu-malu di hadapan ustaz atau ustazah tetapi bebas menjadi diri sendiri bersama kawan-kawan?

Soalan-soalan ini hanya sesuai kepada mereka yang telah meletakkan segala komponen kehidupan mereka di luar islam. Mereka hanya menjadi islam apabila beribadah tetapi hal-hal lain saling tidak tumpah seperti orang yang tidak islam.

Anda mungkin suka memandu, menghias, melukis, mengambil gambar dan membaca. Anda juga melihat orang-orang yang tidak islam membuat perkara yang sama seperti anda. Mereka juga memiliki minat yang sama seperti anda. Jadi selain ibadah anda nampakkah bezanya anda yang islam dengan mereka yang tidak islam itu? Jika tidak, mengapa? Sepatutnya anda telah bersetuju bahawa islam meliputi seluruh hidup apabila anda mengatakan ''inna solati wanusuki wamahyaya wamamati lillahi rabbil 'alamin'' (Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku untuk Allah, Tuhan semesta alam.) setiap kali dalam doa iftitah dalam solat anda!

Jika anda lihat orang yang tidak beriman itu melakukan sesuatu perkara itu dengan cara begitu dan begini, itu sememangnya apa yang lahir daripada akidah mereka iaitu akidah kafir. Akidah kafir mereka terpancar dalam cara hidup mereka. Mereka makan, tidur, bermain, berjalan dan belajar mengikut akidah kafir mereka. Itulah yang dikatakan menzahirkan apa yang diimani dalam seluruh kehidupan. Anehnya anda yang memegang perkara yang paling haq dan jauh lebih mulia daripada itu tidak menampakkan haq itu melainkan ketika solat dan ceramah!

Adakah tidak boleh menonton televisyen dalam keadaan islam? Adakah tidak boleh membeli-belah dalam keadaan islam? Mestilah boleh kerana islam meliputi seluruh hidup. Apa yang tidak sah dalam islam hanyalah dosa-dosa yang perkara-perkara keji serta perkara sia-sia yang pasti mampu ditolak jika ada iman. Jika imannya kuat maka banyaklah dosa yang ditolak dan begitulah pula sebaliknya.

Sebagaimana kita telah mendengar kita Bilal bin Rabah r.a mengadu kepada Rasulullah s.a.w tentang Abu Dzar r.a. yang menghinanya yang berkulit hitam. Lalu Rasulullah menegur perbuatan Abu Dzar lalu ia pun menangis memohon ampun lalu meminta Bilal r.a. memijak kepalanya. Abu Dzar telah pun menolak personaliti jahat itu dan memilih personaliti yang baik tetapi ia tidak pula merubah dirinya menjadi sesuatu yang lain. Islam menyuruh kita membuat kebaikan, bukan bertukar watak. Islam tidak menyuruh Umar r.a. berubah menjadi Abu Bakar r.a. atau sebaliknya. Islam tidak menyuruh pula Mus'ab bin Umair membuang hartanya untuk menjadi fakir. Islam tidak menyuruh anda membuang beg tangan anda, kereta anda, kamera anda, sifat lucu anda, sifat semangat anda, hobi-hobi anda, minat anda tetapi islam menyuruh anda membuang jahiliyyah yang ada di dalamnya!

Bagaimana pula memiliki iman yang kuat jika tidak ingin menzahirkan islam dalam kehidupan? Bagaimana pula memiliki iman yang kuat jika tidak ingin berusaha? Bagaimana ingin bertemu dengan Allah jika tiada usaha? Bagaimana ingin masuk ke syurga jika tidak ternampak islamnya di mana dalam diri? Bagaimana ingin jadi yang terbaik jika tidak mahu berebut-rebut untuk melakukan kebaikan?

Mana usaha anda? Saya katakan sekali lagi, mana usaha anda? Mana usaha anda mendapatkan hidayah Allah untuk menjadi orang kecintaan Allah? Mana usaha anda menuntut ilmu untuk mengenali Allah, Rasul dan mendalami Islam? Mana usaha anda berdakwah melalui akhlak jika akhlak islam tidak mahu ditonjolkan? Mana usaha anda menjadi muslim berjaya jika tidak berbangga mengatakan 'Saya Muslim!'?

Kata kuncinya adalah usaha.

No comments: