Tuesday, 2 February 2010

Berat Sungguh


Berbagai-bagai perancangan yang telah dibuat dalam kepala sejak semalamnya. Mengikut perancangan, selepas habis waktu kerja saya mahu ke Labu untuk singgah di sekolah lama, sebelum pulang ke Sunway. Dan, di Sunway saya telah pun menyusun rentetan kisah sendiri di dalam minda tentang perancangan itu dan ini.

Tetapi hujung minggu itu bagaikan tiada cahaya. Saya rasa longlai dan basau untuk bergerak. Dan kini semua yang dirancang bagaikan tiada.

Saya tidak mampu mengelak untuk bercerita tentang ini. Oh, maafkan saya.

Saya masih bercakap seperti biasa selepas itu, saya senyum seperti biasa. Makan masih lalu, tidur masih lena. Sampai suatu ketika dia berkata, 'Ini suatu fakta.' Saya masih senyum seperti biasa. Katanya lagi, 'Ini benar-benar fakta.' Saya jadi sakit kepala.

Saya tidak tahu apalah yang mengikat saya daripada terus memikirkan. Tiada hubungkait tapi mengait. Saya seolah-olah berfikir yang dia sedang bercuti di tempat jauh sehingga ada yang mengatakan, 'Ini suatu fakta.'

Kemudian, barulah saya tak mampu senyum lagi.


Sudah jatuh ditimpa kren -bukan bercerita tentang malang, tetapi kesedihan. Saya baharu sahaja berasa berat untuk membuat keputusan meninggalkan sesuatu dan saya sayangkannya (diceritakan kemudian sahaja), dan saya telah tekad dengannya tetapi masih terfikir-fikir setiap hari.

Serta saya baru sahaja sedih kerana telah berasa malu. Saya mengeluarkan wang dengan berkata, "Rezeki itu di tangan Allah, Allah berkuasa melapangkan bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya," Tetapi dalam kepala sudah ada mindset hujung-bulan-duit-masuk. Seolah-olah Si Mara itu pemberi rezeki kepada kita. Saya pun membeli belah dengan selamba menulis senarai barangan yang ingin dibeli, tetapi dalam dompet dilihat hanya beberapa not satu ringgit. Naik pucat muka memikirkan tidak punya wang untuk membeli sabun segala. Yang sempat dibeli mungkin selipar RM 2.90 sahaja.

Sepanjang masa pucat itu barulah rasa malu dan terpukul dengan teguran Allah. Silap besar saya selama ini kerana telah menganggap diri ini telah bergantung sepenuhnya kepada Allah. Padahal apabila duit tiada muka jadi pucat lesi memikirkan makan minum dan duit tol. Maknanya saya tidak yakin dengan Allah serta tidak berprasangka baik dengan Allah. Lalu, saya berasa sedih sekali kerana malu kepada Allah.

Saya kata dalam hati, "Saya bukan hamba yang redha. Saya bukan hamba yang bergantung kepada-Mu. Saya hamba yang hina. Saya berasa malu. Saya... saya... dan saya... " Lama-kelamaan hati mula menerima. Tiba-tiba diselak dompet muncul not RM 50.00. Saya pun membeli benda-benda keperluan dengan cepat dan pergi menangis di surau Sunway Pyramid. Kasihan Qalbi saya keanehan.

Oh, hari yang memalukan, diri yang memalukan...

Saya bertanya kepada 'Aini saya, bagaimana seseorang perempuan harus bertindak atas kematian kawan lelakinya yang ajnabi? Katanya, kita harus muhasabah tentang pekerjaan yang kita lakukan selama ini. Apakah kita cukup memberi kepada orang lain sehinggalah hujung nyawanya? Layakkah nanti kita dibebaskan daripada hutang-hutang peringatan orang-orang sekeliling di akhirat kelak?

Benar. Saya melatah dengan kejadian tiba-tiba itu, dan masih melatah. Saya jadi gugup dengan kisah maut. Saya terdiam dengan hakikat. Saya merasakannya tetapi saya tidak tahu apa yang saya rasa. Saya terbelenggu. Duduk termangu, kerja jadi tak jadi.

Tiba-tiba windows YM muncul dengan nama Yamini saya di atasnya. Dia mengambil peluang dengan kisah kematian untuk memberi pencerahan kepada adik-adik kandungnya. Serta-merta saya tanya dia, "Apa yang awak ceritakan?" Dia pun menceritakan apa yang diceritakannya, diberinya ayat-ayat di muka-muka terakhir surah al-'Ankabut (mula ayat 57). Saya pun cepat-cepat menyemak dan tiba-tiba lega sekali rasanya. Cerah. Diceritakan pula yang dia ceritakan tentang sebuah hadith. Serta-merta saya pun tanyakan kepadanya hadith apa, jawabnya hadith qudsi yang ke-4. Saya katakan padanya, saya tidak faham perkaitan hadith itu. Lalu ia pun menerangkan tentangnya. Apabila saya membaca tulisannya bahawa ajal itu telah ditetapkan bagi setiap manusia sebelum ia melihat dunia sekalipun, entah kenapa lega sekali perasaannya.

Setelah itu apabila saya dengarkan, 'Ini suatu fakta,' hati saya berkata, 'Innalillahi wa inna ilaihiraji'un. Daripada Allah kita datang, kepadanyalah kita semua akan kembali. Kullun nafsin za iqatul maut. Setiap yang bernyawa pasti akan mati.'

Yang datang daripada Allah berat-berat belaka melainkan dengan solat malam. Kerana Allah telah menyatakan,

"Wahai orang yang berselimut,

Bangunlah (untuk solat) pada malam hari, kecuali sebahagian kecil,

Atau lebih dari (seperdua) itu, dan bacalah Al-Qur'an itu dengan perlahan-lahan,

Sesungguhnya Kami akan menurunkan perkataan yang berat kepadamu,

Sungguh, bangun malam itu lebih kuat (mengisi jiwa), dan (bacaan di waktu itu) lebih berkesan,

Sesungguhnya pada siang hari engkau sangat sibuk dengan urusan-urusan yang panjang,

Dan sebutlah nama Tuhanmu, dan beribadahlah kepada-Nya dengan sepenuh hati,

(Dialah) Tuhan timur dan barat, tidak ada tuhan selain Dia, maka jadilah Dia sebagai pelindung."

(Al-Muzammil: 1-9)

Nampaknya, ini disebabkan saya yang kurang bangun solat. Ya Allah...

Kita bercakap tentang redha walhal kita masih menyebut-nyebut tentangnya, redha apakah itu jika diungkit-ungkit? Redha itu jauh lebih hebat daripada sabar. Anda boleh sabar tapi anda susah untuk redha. Namun, redha itu indah dan langsung tidak mustahil, lagi tidaklah sesusah mana kalau kita sangat dekat dengan-Nya.

Mari kita redha, sabar dan bangun solat malam. Al-Fatihah.

5 comments:

HaYaTi said...

Alhamdulillah...

satu saham pun dikira nanti

Nazihah said...
This comment has been removed by the author.
Nazihah said...
This comment has been removed by the author.
Nazihah said...

redha.. huhu sy pun br tahu susah sbnrnye nk praktikkan.. ckp mcm senang je..

td br je kene tahan dgn mak guard *******..
"adik, mane kad matrik?"

time tu mmg cuak.
sempat menipu lagi. Ya allah ampunkan hambaMu ini.
sempat merengek2 takut kat adik2 usrah. ape punye naqibah la sy ni.

bile fikir2 balik time mmg x sepenuhnye bergantung pd Allah pun. Ya Allah, ampunkan sy.

huwaa byk lagi kene improve ni!!

aunaz fifteena said...

Takpa ziha,
Yang penting kita kena belajar daripada kesilapan yang lalu.
At least ada usaha. Ada saham bak kata Yati he he.