Saturday, 5 December 2009

Mencari Mus'ab


"Kau pilih cerita Korea ke Mus'ab bin Umair?" Tanyanya.

Aku menongkat dagu di atas meja sambil memandangnya. "Apa?"

"Cerita Korea ke Mus'ab bin Umair?" Ulangnya lagi, dengan lebih teratur dan kuat. Aku melihatnya menuang kopi ke dalam cawan di hadapanku. Mataku memandang cawan dan wajahnya bergilir-gilir. Aroma kopi menjalar masuk ke dalam hidung. Aku menghirup tidak sabar selepas membaca basmallah.

"Apa kau merepek ni?"

"Pilih sajalah yang mana-mana. Cakap je," gesanya sambil menggoncang sikuku. Seleraku untuk menjamah mati serta-merta. Bahulu terakhir yang kutelan terasa tawar.

"Biarlah munasabah sikit. Kucing atau anjing ke... Banglo atau teres ke... Obama atau Clinton ke..."

"Tadi, masa aku pergi ke pejabat, aku ternampak seorang lelaki ala-ala hartawan yang sangat..."

"Kacak bergaya?" Tekaku malas-malas. "Kacak bergaya. Dan dia pergi ke masjid!" Dia mengangguk-angguk meyakinkan. "Jadi, emm... apa yang cerita Korea atau Mus'ab bin Umairnya?"

"Aku membayangkan dia macam Mus'ab bin Umair yang kau gila-gilakan tu," balasnya selamba sambil menyuap bahulu lalu melemparkan pandangan ke luar tingkap. Hampir tersedak aku dibuatnya. "Astaghfirullah. 'Gila' aku ni, gila nak iman sama macam dia, bukan gila yang macam kau maksudkan tu."

"Ye ke?" Dia mula menduga. "Setahu aku, banyak lagi sahabat nabi yang kuat iman. Mus'ab tu terkenal sebagai anak orang kaya dan kacak kan? Kenapa Mus'ab?"

"Entah, tak pernah terfikir pula," balasku cepat, malas memanjangkan isu.

Dia tersengih sinis lalu bangun untuk pergi ke ruang tamu. Mungkin tanda kemenangan.

"Eh, yang cerita Korea tu apa pula?" Tanyaku.

"Oh ya, rupa-rupanya encik kacak itu adalah pegawai yang akan bertemujanji dengan aku esok. Tentang kontrak terbaru syarikat aku tu.." Dia muncung-muncung berangan seolah-olah sudah mahu terbang aku melihatnya. "Cuma esok, episod akhir cerita Korea kegemaran aku tu."

Aku tergelak, "Kau biar benar, meletakkan kontrak syarikat setanding dengan drama Korea?!"

"Suatu hari akan kau akan faham juga," dia mengangkat bahu, dengan riak wajah tertanya bercampur berharapan. Aku menggelengkan kepala.

Kalau disuruh jawab tanpa usul periksa, awal-awal lagi akan kupilih Mus'ab ibn Umair (klik sini). Namun, kalau bermaksud untuk disandarkan kepada lelaki kacak ala-ala hartawan yang pergi ke masjid, dua-dua pun aku tak hendak.

"Aku harap aku tak akan faham," balasku.

14/11/09

2 comments:

HaYaTi said...

herks.... menarik cerita ni ukthi...

aunaz fifteena said...

he he. bukan cerita sebenar.