Sunday, 27 December 2009

Masih Ada Kasih Sayang

"Psst...pssst"

"Pergilah!"

"Kak lah pergi!"

"Abanglah!"

Saya dan adik beradik saling bertengkar bisik tentang siapa yang nak melayan nenek yang datang ke rumah.

Itulah tabiat kami semasa kecil. Takut atau malas melayan orang tua. Tidak pandai mencari bual bicara yang sesuai dek jarak usia, atau kerana malas menunggu dia diam saja dengan lamunan dan cerutnya. Lebih baik main game atau tengok televisyen.

Sesetengah orang dibesarkan dengan budaya yang amat berbeza. Ada yang takut bercakap, ada yang elak komitmen, ada yang sinis, ada yang beradat dan sebagainya. Disebabkan beberapa budaya yang wujud ini maka banyak ragam yang tidak tertanggung dan manusia saling memandang pelik dengan budaya masing-masing. Tetapi inilah hakikatnya.

Tahun 2004, nenek saya meninggal dunia.

Itulah satu-satunya nenek yang saya ada. Namun, saya tidak pandai menghargai dan melayan beliau sebaiknya. Sehingga setahun kemudian entah angin apa yang datang, tiba-tiba saya menangis di dalam kelas 5 Al-Battani ketika kami saling menceritakan tentang nenek masing-masing. Ketika itu barulah rindu datang menyerbu, penghargaan datang bertalu, tapi nenek tak mungkin lagi bertamu. Benar kata orang, bila dah tiada barulah terasa.

Mungkin sesal dan rindu itu terbawa-bawa lagi sehingga bertahun-tahun. Apabila pulang bercuti, saya berbasikal pagi-pagi ke kawasan perkuburan untuk menjengah kubur nenek yang bersebelahan dengan kubur arwah atuk yang tidak pernah saya jumpa. Seringkali saya duduk berseorangan di tengah-tengah kawasan perkuburan itu sambil entah bercakap atau berdoa saya pun tidak tahu.

Hari ini, saya telah diberi peluang untuk merasa tinggal di rumah seorang nenek. Tinggal bersama, makan bersama, bergurau senda bersama, merasa klasiknya suasana, merasa damainya persekitaran, menumpang kasih. Dan jiwa saya seolah-olah telah mendapat kembali kasih nenek yang saya abaikan beberapa tahun dulu. Manja seorang cucu datang menuntut. Keriang-keriut bunyi papan lantai sangat merdu, sunyinya rumah sangat indah, perabot lama sangat mengasyikkan mata, kasih-sayang sangat menenggelamkan. Hubungan yang 'terpisah' selama bertahun-tahun yang hanya didamba seolah-olah terbalas dengan kasih yang terhulur dalam sehari.

Dan, tanpa disangka-sangka dua ciuman singgah di pipi ketika memberi salam perpisahan, haru dan rindu menjadi satu, seperti saya beratuk-nenek kembali. Sangat indah, subhanallah. Sangat indah. Alhamdulillah.

Janganlah saya terlambat lagi untuk menyedari kasih-sayang keluarga terutamanya ibu bapa saya. Bahagiakan mereka di dunia dan di akhirat. Berikan mereka perjanjian ganjaran yang manis di akhirat dengan menjadi anak yang soleh-solehah serta menegakkan agama. Hargai mereka.

Kalau ada yang tiada sesiapa sekalipun, jangan lupa - masih ada kasih sayang....

Alhamdulillah.

2 comments:

Ezati said...

hmm..terasa jugak..dulu zati dan adik beradik selalu bertolak-tolak pasal 'pijak' arwah tokwan. pijak ni panggilan kami je la..maksud dia pijak belakang badan untuk tegangkan mana2 urat.tak tahu nama sebenar apa..huhu rindu tokwan jugak..

aunaz fifteena said...

ramai yang secerita dengan kita sebenarnya zati. hakikatnya semua manusia akan dilupakan walaupun oleh orang yang paling disayangi. hanya amal soleh peneman kita.