Monday, 7 December 2009

Jurnal Nogori : Hari 0 (For Publishing)

Ada peristiwa yang pasti tidak akan saya lupakan pada hari ini. Tapi ah, waktu itu hujung sekali untuk diceritakan. Tapi kesannya paling hebat sekali berbanding semua. Saya ingin juga menceritakan hal ini di sini, walhal saya telah bertekad untuk tidur tepat pada masa sekarang.

Nur,

Saya malu dengan diri sendiri. Saya malu kerana telah membuat kesilapan. Saya malu dengan orang yang mentertawakan. Saya malu dengan Tuhan. Saya telah berusaha untuk menyejukkan hati dengan cerita hakikat takdir dan ujian, tapi asyik saja air di mata ini meleleh permai dan laju seolah-olah hulu sungai. Selalu saja hati ini luluh. Entah dari mana datang habuknya saya tidak jumpa. Serta merta saya rindu segala habibi yang saya ada -saya rindu tamu bayu, saya rindu qalbi, saya rindu 'aini, saya rindu yamini dan saya rindu nur wajhi. Oh!

Nur,

Kuda putih itu datang menengking saya. Merah atau hijau apa kamu tidak nampak, katanya (baca: jerkahnya). Saya cuba beralasan tapi dengan alasan yang benar. Saya sama sekali tidak bermain kata atau jeling manja. Boleh haram hukumnya, Nur. Saya kata saya keliru. Ini pertama kali saya ke negeri ini - tidak asing suasananya, asing perentasannya. Ah, apa si kuda putih itu tidak lihat tag nombor saya. P, lihat P itu? Bukannya N. Namun, mujur pula tidak mengikut nombor pengenalan diri saya yang sememangnya 05 di tengahnya. Alih-alih saya orang negeri ini. Ah, terima kasih kerajaan negara kerana tidak meletakkan nombor itu mengikut nombor pengenalan diri.

Walau apa pun, kuda putih itu suka saja mengikut saya, Nur. Dihentikan saya ke tepi. Ditengkingnya lagi. Katanya, kenapa kau terketar-ketar aku bukan nak makan kau! Saya lihat di seperti mahu telan saya sudah. Saya lihat tangan saya. Tup, terus mata saya terimbau kisah semalam. Tatkala saya senyum sinis apabila melihat gambar sang kuda putih di tiang lebuh raya, dengan pose merakam halaju. Ala-ala betul tapi hanya kertas leper penipu si kutu lebuh raya yang suka bawa laju. Saya juga kutu. Itu sebabnya saya senyum sinis. Nah, sudah ditegur oleh Tuhan. Dihantar-Nya kuda putih misai tebal satu inci.

Kau mahu ke mana datang sini untuk apa, marahnya lagi. Kali ini lebih perlahan sebab kasihan agaknya. Melihat tangan saya menggeletar, mata saya berkaca tahan getar tengkingnya. Sa..sa...sa...saya nak cari te...teman saya, balas saya sesempurna mungkin. Akhirnya, berbekalkan kemurahan Tuhan diikat dengan simptom menggeletar tangan, kuda putih melepaskan.

Dan akhirnya Nur, saya bertamu di negeri ini dengan merah mata. Selamat Datang Nur.

Nur,

Ingin saya jelaskan di sini, saya telah berlaku sombong dalam pemikiran. Ketika meluncur laju lalu terserempak dengan kertas leper kuda putih. Saya kata tak apa, saya tidak takut kuda putih. Saya takut Tuhan. Saya kata lagi, buatlah tindakan. Bagilah kertas resit bayaran banyak-banyak kerana saya hanya takut Tuhan. Tup tup padan muka sampai menggeletar kepala lutut dibuatnya. Mahu dikata sudah ditegur mahupun diuji oleh Tuhan kedua-duanya sama saja. Kesimpulannya saya telah mendapat pengajaran besar. Menusuk dan lekat di hati.

Nur pernah bilang, ingat, kita ingin jadi contoh teladan, hormati ketua. Sekurang-kurangnya sayangi usia, jangan hilang dek yang sia-sia. Sayangi yang menyayangi usia. Bingung juga ayatnya.

Nur,

Itulah sahaja cerita saya ketika ini. Mahu dikata sedih tidak juga. Mahu dikata marah tidak betul juga. Mahu dikata bahagia tidak sama sekali juga. Semua perasaan ada tapi bersatu menjadi suatu perasaan enak bak masam-masam manis hendaknya.

Pendek sahaja penutup saya ini, semoga Nur sentiasa penuh dengan nur, habib, rahmah. Begini sajalah akhiran warkah ini buat manusia mutaakhirin yang solehah hendaknya inshaAllah.

p/s: terngiang-ngiang lagu alalalala tok, alalalala tok, jangan saman.

Salam daripada yang jauh.

Saya.


2/12/09

No comments: