Tuesday, 10 November 2009

Berapa Harga Kelisa?


Ketika soalan ini dijawab, ternganga juga mulut saya apabila mendengar jawapannya. Pada mulanya, logiklah jika nilai RM sebanyak 5 digit ditaruhkan kepada kereta perodua kelisa tapi bukan kelisa ini yang sedang menjadi tajuk perbualan.

Semasa dalam perjalanan pulang ke kampung, saya singgah ke tapak projek kolam ikan kelisa. Ketika mula-mula saya membelok kenderaan ke simpang yang dimaksudkan, lorong berkenaan sudah penuh dengan kenderaan-kenderaan besar seolah-olah menteri-menteri sedang bermesyuarat di situ. Rupa-rupanya inilah pelabur-pelabur untuk projek ikan kelisa ni.



Ikan-ikan kelisa yang bakal dilepaskan ke dalam kolam. 

Ikan kelisa merupakan makhluk Allah yang sangat unik. Ini kerana ikan kelisa jantan akan menelan telur-telur ikan kelisa dan menyimpannya sehingga anak-anak kelisa menetas. Kemudian, anak-anak ini akan diluah keluar dari mulut si bapa. Wow si bapa sangat baik! Sepanjang saya melintas setiap kolam, saya akan ternampak sepasang kelisa berenang beriringan. Rupa-rupanya sekarang musim mengawan. Maha Suci Allah yang cipta jadual alam dengan begitu teratur tanpa perlu menggunakan percetakan mahupun pengumuman. Ikan-ikan itu tahu sahaja masanya.

Ikan kelisa yang terbaik di dunia dikatakan datang dari kawasan ini. Ini kerana mungkin faktor air kolam itu sendiri yang sesuai dengan pertumbuhan ikan kelisa. Air kolam ini diambil daripada air tasik Bukit Merah sendiri. Kemudian, ikan-ikan ini pula akan diimport ke luar negara seperti China dan sebagainya.

Sebenarnya, yang paling unik di sini adalah harga ikan kelisa itu sendiri yang mencapai RM 13,000.00 seekor! Saya juga diberitahu bahawa harga anak ikan kelisa yang panjangnya seinci itu pun sudah mencecah RM 1,500.00 seekor. Pelaburan untuk kolam kecil seperti dalam gambar sebenarnya bernilai RM 260,000.00!! Garu kepala saya dibuatnya.

Nilai ni... manusia yang letak sedangkan Allah cipta secara percuma sahaja. Kalaulah ikan itu tahu dia begitu bernilai di mata manusia. Saya renung saja ikan dalam beg plastik itu. Mulutnya muncung-muncung belaka sambil memandang saya. Dan kalaulah bicaranya boleh kedengaran, tentu akan terdengar, "Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar!"

Sebelum ini ketika saya belum tahu cerita sebenar, saya telah pun berjenaka yang saya boleh melabur sebanyak RM 1,000.00. Namun sekarang, telan air liur sajalah sebab ekor pun tentu tak dapat!

p/s: Anda ingin melabur? Jomlah melabur bantu akhawat lain yang lebih memerlukan dalam perjuangan =)

1 comment:

ifbt1 said...

ikan kelisaa sye sudah mati =( =(
tyme tue harganya murah jee..