Monday, 12 October 2009

Ingin Langkah Bermula


Nur,

Maafkan saya, Nur. Setelah sekian lama hati kita bertaut, entah kenapa rindu baru menyinggah apabila hati saya ingin mengejar cahaya. Mungkinkah kerana nama awak 'nur'? Gurau saja. Saya percaya, ukhwah tu mula dirindui apabila hati kita basah mengingati Allah. Saya telah menzalimi diri sendiri dengan kelalaian saya selama ini dan mujurlah dengan kehadiran awak mampu mengingatkan untuk kembali kepada-Nya dengan cinta yang tiada berbelah bahagi. Jazakillah.

Kalau Nur baca ni, saya rindu sangat pada Nur. Sekarang ni saya sudah berada di tahun ketiga. Nur sedang buat apa sekarang? Saya rasa teruk. Bukan sepenuhnya kerana pelajaran tapi mungkin pelajaran yang menyumbang kepadanya. Awak tahu Nur, sejak awak duduk jauh, saya hilang sumber nasihat, seolah-olah hati saya hilang separuh. Kalau awak baca ni Nur, mesti awak ketawa kan? Malu saya.

Saya sudah disibukkan dengan hal dunia. Belajar itu penting dan amanah, jadi saya berusaha kerana Islam, Islam, Islam. Namun, saya telah menjadi jahat -kerana menggunakan nama Islam bagi menutup ketakutan saya pada bayang-bayang sendiri. Dan saya sangka, saya benar. Lalu, saya mungkin telah menyebabkan rasa hormat terhadap Islam itu pudar atau mungkin lenyap daripada pandangan orang lain. Seperti saya sendiri yang menabur fitnah terhadap Islam di muka sendiri ketika mengenal erti menjadi seorang da'i. Jadi sekarang, saya cuba membuang salah faham saya terhadap konsep itu, lalu cuba mengubah apa yang tidak kena. Kerja mengubah diri untuk diterima ini adalah suatu seni, dan seni itu sungguh asyik dan melekakan. Awak paling tahu tentang seni, Nur. Tidak perlu lagi saya terangkan. Dan fokus ini membawa saya mencari sesuatu yang kreatif lalu secara halusnya matlamat asal saya telah terlapik dengan matlamat seni ini. Tambahan pula semakin lama saya rasa semakin munafik. Di hadapan orang itu, saya bertaqwa, di hadapan orang itu, saya biasa, di hadapan orang itu pula, saya pelalai.

Nur kata, itu juga perasaan yang biasa berlaku walaupun di kalangan sahabat nabi saw. Nabi kata, iman manusia bertambah dan berkurang. Lalu selalukanlah bertanya, apa khabar imanmu? Dengan itu, hati saya jadi lebih tenang. Patutlah Nur suruh baca sirah -banyak teladan daripada kehidupan nabi saw dan para sahabat.

Nur, apa khabar iman? Tentu iman awak sedang menggemuk sihat. Dan syaitan suka untuk menjatuhkan orang yang memiliki iman yang lebih berisi. Gemukkan lagi, Nur! Selepas itu kemikkan syaitan itu semua. Semoga Nur tetap 'menggemuk' di sana sebab Nur menundukkan pandangan, menjaga hati dan hubungan, tenang dan menenangkan, saya paling suka Nur sebab awak membimbing saya membaca al-quran dengan hati, bukannya akal. Sekarang, saya harap awak tak baca semua ni. Nanti awak marah saya sebab puji awak. Saya pun cuba nak gemuk juga, fizikal, mental dan terutamanya rohani.

Semoga Nur merindui juga saya. Bila Nur mahu datang ke sini agaknya? Kita lost contact kah? Semoga Nur selamat, bahagia dan disayangi Allah.

Kita akan bawa himmah itu sehingga mati. Sekarang saya sedang semangat. Kena suntikan ubat tarbiyyah, ketagih bergerak dengan langkah yang bermula.

Salam rindu,
Auni el-Monashi

No comments: