Monday, 7 September 2009

Air Mata Angah


Tadi sebelum solat isya', tiba-tiba fikiran saya asyik melayang teringatkan angah. Selalunya apabila terkenangkan adik-beradik, saya lebih cenderung untuk flash back kisah-kisah lama berbanding kisah sekarang. Oleh kerana saya seorang yang agak visual, kisah-kisah itu seperti ditayangkan semula di skrin mata lalu saya pulang ke masa lampau tanpa perlu menggunakan mesin kartun doraemon.

(Filem masa lampau ni nakal juga -dia pilih kisah-kisah dramatik untuk ditayangkan. Misalnya, apabila saya terkenangkan adik saya Siti, mesti saya teringat satu kisah kami semasa kecil-kecil dahulu. Saya bergaduh dengan dia sebab dia pukul adik kami yang kecil tu. Masa tu Siti baru nak makan nasi. Saya membentak lalu ikan goreng dalam pinggan dia terjatuh atas lantai tanpa sengaja. Dia pun menangis kesedihan. Saya rasa bersalah sebab saya tak pernah nak marah dia sebelum ini. Niat saya hanyalah supaya dia tidak mengganas sangat pada adik-adik. Tak sangka dia disakiti oleh saya sampai tahap macam tu. Hati saya terguris sampai sekarang setiap kali teringat kisah itu.)

Kisah dramatik yang terpilih adalah kisah angah di hari konvokesyennya. Hari itu saya rasa sangat bahagia. Sebab kali pertama saya berharap agar angah akhirnya menyedari dan merasai perasaan belonging dalam keluarga. Saya harap dia tahu betapa saya sangat bangga kepadanya. Begitu juga emak dan ayah.

Tetapi cara manusia memahami sesuatu perkara itu berbeza. Dan disebabkan itu tercetus salah faham yang menyusahkan dan tak terelak. Salah faham itu tidak menuding jari kepada mana-mana pihak kerana tidak ada sesiapa yang bersalah. Namun, semua pihak jadi terkesan.

Angah lurus juga orangnya. Dia beratur panjang untuk memulangkan jubah konvokesyen kerana dia fikir semua orang harus melakukan begitu. Sedangkan kami menunggu di luar untuk meraikan bersama-samanya. Akhirnya, lima belas minit, setengah jam, satu jam kami menunggu, dia tidak muncul-muncul. Kami hanya mampu melihat orang lain bergambar dan bergembira dengan keluarga dan kawan-kawan masing dengan jubah graduan. Ayah dan emak sudah semakin penat dan kecewa kerana dibiarkan begitu.

Dan angah tidak tahu tentang itu.

Ketika angah datang dengan gembira untuk meraikan bersama kami, kami semua telah pun berada di dalam kereta dan bersedia untuk pulang. Ayah dan emak telah penat menunggu. Muka angah berubah ketika dia masuk ke dalam kereta. Saya dapat melihat kegembiraan yang berkecai di wajahnya. Saya cuba ceriakan suasana dengan ucapkan tahniah kepadanya dan memberikan kepadanya jambak bunga yang kami beli.

Angah mungkin menyesal kerana ketidaktahuannya bahawa jubah boleh dipulangkan kemudian. Dia kecewa kerana hari bahagianya pergi begitu sahaja, tidak seperti yang dirancangnya. Tidak ada walaupun sekeping gambar, pelukan tahniah, atau ciuman kasih sayang. Semua orang ada kekecewaan mereka masing-masing ketika itu. Tidak semena-mena saya lihat ada air meleleh perlahan di pipinya. Angah!

Buat pertama kalinya saya lihat itu. Betapa sedihnya angah.

Ketika itu, barulah saya sedar betapa halusnya hati seorang lelaki bernama angah. Ketika itu dia seolah-olah telah membuat kesimpulan tentang penderitaannya selama ini. Yang mungkin datang dengan prasangka atau rendah diri.

Oh Angah.

Saya harap angah tahu, saya sangat bangga dengan angah dengan dirinya yang seadanya. Saya sayangkan dia walaupun dia jarang bersama-sama keluarga di rumah, walaupun dia tidak menonjol kerana tidak memasuki universiti. Masih, kakak sayang sangat angah. Tidak langsung berbelah bahagi antara angah dan along.

Angah tidak seharusnya cemburu apa-apa. Itu hanyalah prasangka orang yang merendah diri dan melara dengan keadaan diri. Kasih-sayang tiada batasan dengan kata-kata, senyuman, tahap pelajaran atau masa. Ia ada mendalam walaupun manusia tak menyedarinya.

Angah sekarang sudah bekerja dan berumahtangga. Saya lega kerana dia bahagia dan semakin bahagia serta makin matang alhamdulillah.

Memori Sedih

Saya tak suka mengingat kembali. Namun hikmahnya semua ini juga mengajar dan mendewasakan kita semua. Sekarang semuanya berubah menjadi semakin baik. Baru-baru ini bahu angah patah sebab dia kemalangan lagi. Angah ini sungguh kasihan orangnya.

Angah adalah abang rempit yang paling saya sayang. Saya suka bila membonceng motosikal angah apabila kami sama-sama mengambil lesen memandu di Bukit Mertajam dulu.

Memori sedih merupakan di antara perkara yang paling ditakuti manusia. Ia sering datang bersama malam dan kegelapan. Lalu kita tenggelam di dalamnya bersama hati yang lara.

Macam baru-baru ini ketika saya pergi ke LCCT untuk pick up sisters dari Jakarta untuk pergi ke program, sepanjang masa saya kesedihan kerana terkenang suatu memori sedih yang berlaku suatu masa dahulu di KLIA. Ketika itu jam 4 pagi, saya duduk berseorangan dan cuba membuang memori lama tapi ia datang juga menghimpit.

Berlindung

Bagaimana menjauhkan memori sedih dalam kegelapan malam ini? Saya teringat firman Allah dalam surah yang sering kita baca:

Qul a'uzubirobbil falaq...

Falaq. Subuh, waktu perantara siang dan malam. Perantara gelap dan cahaya. Siapakah Penguasa yang mampu menukarkan kegelapan kepada cahaya itu? Berlindunglah pada Penguasa itu.

"Daripada segala perbuatan makhluk-Nya. Dan daripada malam apabila gelap-gelita."
(ayat 2-3)

Hanya Allah pelindung daripada segala kegelapan dan kesedihan. Lagipun, semua kegelapan dan kesedihan itu makhluknya juga!

Jadi, sudah-sudah. Jangan cengeng ya semua!


Angah di hari bahagia.

p/s: Segala puji bagi Allah yang ada penawar dan penyelesaian bagi segala-galanya.

3 comments:

HaYaTi said...

sedihnya dgr kisah angah. seperti kisah angah yg ni juga..=P

aunaz fifteena said...

cee..ni hipotesis angah-angah yang kesedihan ke?

HaYaTi said...

hahahah. ye kot. lgpun angah hatinye lembut(perasaaaannnyeeeee)