Tuesday, 18 August 2009

Astable


Telah lama saya merasa bagaikan telah menjadi bangkai bernyawa. Nak berjalan kena mengengsot basau seperti tak ada kaki apabila mahu ke kelas. Makan tak lalu, mandi tak basah tapi tidur sangat lena. Tidur sunat seolah-olah wujud pada waktu dhuha, sebelum asar dan selepas maghrib. Amboi! Perasaan berat apakah ini, seperti torsional force memulas jasad saya seperti memerah kain basah, lalu saya berkecai dalam keadaan yang sangat rapuh.

Kesusahan demi kesusahan.

Sejak melangkah ke tahun ketiga, segala-galanya kelihatan begitu sukar buat saya. Bermula dari kuliah yang tidak berkesan sehinggalah terlupa akan adanya tugasan yang perlu dihantar, saya telah mula panik.

Saya ini ialah manusia yang telah menjejakkan kaki ke tempat asing. Di negara yang dipenuhi lelaki-lelaki. Seringkali saya menghadapi kesukaran dan berputus asa. Saya selalu bertanya kepada Allah, "Ya Allah, apakah hikmahnya saya berada keseorangan di sini?"

"Sungguh, Kami telah menciptakan manusia itu berada di dalam susah-payah." (Al-Balad)

Benar, ya Allah.

"Apakah dia mengira bahawa tidak ada sesuatu pun yang melihatnya?"

Oh.

"Dan Kami telah menunjukkan kepadanya dua jalan (kebajikan dan kejahatan). Tetapi dia tidak menempuh jalan yang mendaki dan sukar itu?"

Begitu.

"Mereka adalah golongan kanan."

Wah, benarkah? Subhanallah.

Saya terlupa yang hakikat kesusahan itu memang sudah sebati dengan hidup setiap manusia. Jalan yang lurus itu kebanyakannya adalah jalan yang sukar dan mencabar. Dan golongan kanan itu berpesan-pesan kepada kebenaran dan berpesan-pesan kepada kesabaran.

Akal fikiran 'dewasa' saya telah membantutkan/menaifkan motivasi diri sendiri. Sedangkan sejak kecil kita semua adalah juara. Siapa yang berjaya mendapat tempat di dalam rahim ibu berbanding jutaan applicant lain? Saya. Siapa yang berusaha untuk keluar dari perut ibunya, kemudian berusaha untuk bernafas buat pertama kalinya dengan susah-payah? Saya. Siapa yang tidak berputus asa belajar untuk meniarap, merangkak kemudian berlari tanpa paksaan? Saya!

Oh sayalah si tidak-putus-asa sejak dulu. Mengapa kini, setelah dikurniakan ilmu, akal, iman, kekuatan dan kelebihan, saya memilih untuk menarik diri? Porah!

Susah-payah itu sudah sebati dengan fitrah manusia. Namun ada yang bersusah payah kepada perkara yang tidak berguna, kejahatan atau lebih sedap disebut sebagai susah-payah untuk ke neraka. Dan alangkah indahnya apa yang dikatakan susah-payah untuk ke syurga yang tidak tergambar keindahan rupanya. Dan paling hebat, bertemu dengan-Mu ya Allah. Apakah yang lebih indah daripada itu untuk kami, untuk bertemu Yang Menciptakan, Yang Maha Berkuasa, Yang Maha Mengetahui. Berikanlah saya peluang itu, ya Latif.

Saya mengibaratkan kehidupan yang dilalui manusia sebagai perjalanan merintis anak sungai di dalam hutan. Sekali-sekala kita terpesong sedikit dari jalan lalu termasuk ke dalam hutan yang semakin tebal. Lalu kita berusaha mencari semula laluan anak sungai yang selamat tadi. Adakalanya, kita tersasar lebih jauh ke dalam hutan lalu bertemu dengan pelbagai cabaran yang kritikal seperti harimau atau ular sawa. Lantas pada ketika itu baru kita tersedar yang kita sudah tersasar jauh. Kemudian, kita berusaha pulang ke anak sungai.

Terima kasih kepada kesukaran hebat tadi. Jika bukan kerananya, sudah tentu kita leka dan berjalan ke dalam hutan tebal, sesat dan tidak menemui jalan pulang selama-lamanya. Ingat, tidak semua orang yang sedar akan kesesatannya dan tidak semua berjaya kembali ke anak sungai kerana hutan juga ada tarikan indahnya yang tersendiri.

Seharusnya saya bersyukur Allah berikan saya kesukaran demi mengukuhkan hati saya berbanding memberi kesenangan sehingga saya jauh terpelanting daripada-Nya. Kami telah banyak menzalimi diri sendiri, ya Allah. Dengan rahmat dan kasih sayangmu, ampunilah kami, terimalah taubat-taubat kami, kekalkanlah penyesalan dalam hati-hati kami.

Saya harap saya dapat sampai ke muara.

'Astable' merupakan istilah baru yang dipelajari semalam. Ia merujuk kepada situasi 'neither stable nor unstable'. Situasi ini tidak dikehendaki ketika menganalisis tindak balas sesuatu model. Kita hanya mahu stable, stable! "You know the science, but design is an art!" You love art? Chayuk2! We love mechanical engineering!

No comments: