Wednesday, 20 May 2009

Queen It

Maaf, post kali ini mengandungi unsur-unsur emosional tentang hidup. Diharapkan kesempitan kali ini menjadi peringatan dan pedoman pada masa akan datang supaya menjadi seorang hamba yang lebih bertaqwa. Allah tidak membebani seseorang melainkan dengan kemampuannya. Saya amat yakin dengan Allah.

Saya telah terbeban dengan masalah kewangan. Ini semua ujian daripada Allah. Walaupun saya telah merancang kewangan saya dengan baik, Allah merupakan perancang yang lebih bijaksana. Mungkin Allah ingin memberikan pengajaran kepada saya supaya menjadikan hamba yang lebih bersyukur.

Ayah sering memberi nasihat, "Guna duit untuk makan tak apa" sebab dulu saya selalu sayang duit dan tak makan. Saya pun ikut cakap ayah sebab tak mahu jatuh sakit dan menyusahkan emak ayah lagi. Bila dewasa, saya tidak sedar yang saya seolah-olah telah mengkhianati kepercayaan ayah. Nasihat itu disalahguna untuk dijadikan alasan berbelanja wang sesuka hati. Walaupun untuk perkara penting, saya telah lalai menyusunnya lalu memboros. Bila dah tersedar, ah! muslimah jenis apa kau ini -tapi sudah terlambat, duit takkan kembali. Yang berguna sekarang, saya perlu lalui ujian ini untuk muhasabah kembali diri. Mungkin disebabkan saya yang telah banyak membina jurang dengan Tuhan.

Hal wang bukanlah sesuatu yang dikesalkan sangat. Ia hanyalah kepingan kertas. Nilainya pun bergantung kepada golongan tamak bergelar currency traders kan -bukannya kita. Sebenarnya saya jadi beremosi disebabkan hal ibu dan ayah terkorban sama.

Saya sanggup berlapar dan ikat perut daripada meminta duit daripada emak dan ayah. Masalahnya, keperluan kewangan saya tidak hanya terhenti pada hal makan minum sahaja. Kini, saya memerlukan lagi duit untuk membayar duit rumah sewa baru. Duit yang telah saya beri tidak cukup. Untuk pendahuluan, saya perlukan lagi RM470. Sekarang saya cuma ada 10 keping wang RM 1 dalam dompet dan RM90 dalam akaun bank.

Disebabkan keperluan wang, saya terpaksa juga hubungi mak. Mak memulakan bicara dengan suasana sepi. Televisyen di rumah rosak -wang. Kos pelajaran dan makan minum abang di bandar - wang. Kos walimah abang ngah - banyak wang. Emak tidak sebut pasal wang tetapi kisahnya semua tentang wang. Ayah juga tidak lagi bergaji setinggi dulu. Sudah lumrah bekerja dengan orang. Kami bukannya senang.

Sepanjang waktu perbualan itu lidah saya terkedu.

Hati saya tercalar-calar. Saya tak sanggup nak beritahu emak. Saya sanggup berlapar demi emak tapi kali ini keperluan wang ini datang bersama suatu pertanggungjawaban dan janji. Saya terpaksa juga sebutkannya. Saya memohon ampun kepada Allah berkali-kali supaya hati ibu saya tidak susah. Tidak terjejak syurga kalau ibu menitiskan air mata!

Akhirnya ketika saya bertekad sebutkan tentangnya dari hujung talian, saya tidak sedar mengalirnya air mata di pipi saya. Saya tahan peritnya di hati. Pedih jiwa saya apabila membuatkannya susah hati, terpaksa memerah otak dan keringat dalam mengusahakan wang. Berkali-kali saya memohon keampunan tapi tidak terluah juga maka saya ulang dan ulang dalam hati.

Sepatutnya seorang anak yang sudah dewasa yang akan mengirimkan wang kepada ibu bapanya tetapi saya di sini masih lagi menyusahkan mereka.

Saya juga mungkin tidak dapat menghadiri walimah abang saya sendiri kerana tidak ada wang untuk membeli tiket bas. Apatah lagi nak bayar duit minyak kereta. Kalau boleh saya nak sewakan dulu tapi saya sendiri pun pinjam sahaja. Jadi buat masa sekarang, saya telahpun memasang niat untuk makan nasi sehari sekali sahaja sampai hujung bulan ini. Namun langsung tidak mengapa, kerana merasa hidup susah menjadikan kita lebih bersyukur. Ada yang jauh lebih susah.

Apa yang menariknya, saya semakin faham mengapa di dalam Surah Al-Ma'un Allah melarang kita daripada mengherdik anak yatim dan tidak mendorong memberi makan kepada orang miskin. Golongan ini merupakan golongan yang susah hati, tiada pelindung dan yang paling terdedah kepada kerendahan moral dan pendidikan. Jika hal ini berlaku di kalangan umat Islam sendiri terutamanya, maka kita sukar mendakwa bahawa Islam itu membawa kepada kesejahteraan. Jadi, orang yang mengherdik anak yatim dan tidak membantu orang miskin ini boleh dikatakan sama sahaja sama ada mereka beriman atau tidak beriman. Sikap mereka tetap tidak 'mensejahterakan Islam' di mata orang lain.


Ujian kali ini mengajak saya menilai ayat-ayat Allah. Alhamdulillah saya jumpa keindahan itu. Cara untuk saya berbakti dan membalas jasa emak dan ayah adalah dengan tidak hanya bersungguh-sungguh di uni, tapi, malah berusaha menjadi seorang wanita yang solehah. Itu yang lebih penting.

p/s: Kurniaan Allah akan sampai kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Saya berdoa semoga masalah kewangan ini menjadikan saya lebih dekat dengan Yang Maha Kaya.

4 comments:

miSSeRah said...

b strOng kak auni...pasti ade hikmah untuk seme y berlaku...=]

aunaz fifteena said...

InsyaAllah. Terima kaseh miSSeRah.
I appreciate it.

HaYaTi said...

baru baca.. no wonder..
ape2 pun sbg sahabat i am always here if u need anything. but please just say it dont suffer by yourself..
apa gunanya kawan??
=)

aunaz fifteena said...

=)