Sunday, 5 April 2009

Jaga Hati Orang atau Hati Sendiri?

Memang betullah -budaya kita yang terkenal dengan sopan santun ada juga membawa bersama penyakit-penyakit hati seperti prejudis, dengki, mengumpat, talam dua muka dan sebagainya. Contoh yang terdekat sudah pun digambarkan dalam drama-drama dan filem-filem melayu. Ini semua merupakan hasil karya yang kaya dengan gambaran penyakit-penyakit hati. Penyakit-penyakit ini terus dikembangkan menjadi konflik yang lebih kreatif dalam setiap babak menyebabkan karya-karya kita hanya digemari bangsa melayu sahaja. Bangsa dan negara lain mana suka pada sebahagian sifat pelik bangsa kita. Bangsa kita adalah bangsa yang terkongkong dengan istilah 'jaga hati' sehingga perkara yang dipendam untuk kononnya menjaga hati itu bertukar menjadi nanah kecil yang menimbulkan penyakit seperti prasangka, sakit hati, dendam yang juga membawa kepada umpatan dan perkara keji lain. Hanya kerana mahu 'jaga hati orang'.

Sepatutnya, kalau ternampak sesuatu perkara yang tidak kena, cepat-cepat kita bertanya terus. Bukannya terlalu takut nanti orang terasa hati lalu kita lebih suka memilih kaedah berkias. Selalunya, orang melayu moden kini sibuk mengejar tamadun yang mengabaikan bahasa sendiri. Lalu bangsa ini tidak pandai berkias dengan betul tetapi suka mengamalkan kias kerana itu lambang melayu yang 'menjaga hati'. Hakikatnya, mesej kias selalunya tidak sampai. Lalu terbitlah penyakit-penyakit hati.

Contohnya, di antara orang sesama fikrah, bila dah sense something goes wrong with this heart, cepat-cepat ingatkan dia. Bukannya jadi berpura-pura atau jadi emotional supaya dia boleh nampak yang kita tak suka dengan kesalahan yang dia buat tapi hakikatnya kita pun tak berani nak tegur.

"Saya rasa awak dah tersenget ke arah duniawi."
"Saya rasa komitmen awak dah berkurang."
"Saya rasa cinta awak pada Allah dah beralih arah."
Contoh ayat telus melalui 'saya rasa'..

Pernah saya mengambil sejadah yang dibentang di hadapan sahabat saya. Ketika itu, beliau sudahpun selesai solat dan sedang membaca doa sementara saya pula baru datang dan masih belum solat. Oleh kerana mengejar untuk solat bersama imamah di hadapan, saya tersalah langkah mengambil sejadah dari beliau yang saya rasakan sangatlah tidak beradab. Lalu selepas itu, saya terus meminta maaf kepada beliau kerana saya tertanya-tanya apakah beliau kecil hati dengan perlakuan saya tadi. Saya terus meminta maaf kerana mahu menghindar prasangka di dalam hati saya iaitu beliau berkecil hati dengan saya. Jika prasangka ini tidak dibuang, bermaksud hati saya akan membina jurang saya sendiri dengan beliau. Padahal, beliau sebenarnya berlapang dada. Macam mana kita nak tahu beliau berlapang dada atau tidak? Kenalah bertanya dahulu padanya...

Saya memakai kasut yang bertutup di bahagian hadapan. Saya juga memakai stoking yang tipis. (Saya tidak tahu sama ada saya memakai kasut bertutup hadapan kerana stoking saya tipis atau saya memakai stoking tipis kerana kasut saya bertutup). Jadi, selalunya saya membawa sepasang lagi stoking untuk dipakai dua lapis ketika solat. Stoking A di bahagian luar jarang dan berwarna hitam manakala stoking B dalam berwarna seperti warna kulit. Jadi oleh kerana warna stoking B sama seperti warna kulit, saya seolah-olah hanya memakai selapis stoking hitam A dan ternampak darinya kaki saya sedangkan itu adalah warna stoking B saya. Jadi sahabat saya ini tidak simpan-simpan di dalam hati dan tidak juga berfikir untuk jaga hati saya kerana padanya Allah-lah yang perlu dijaga. Lalu dia pun berkata supaya menukar stoking B menjadi stoking yang dipakai di lapisan luar supaya tidak menjadi fitnah. Fitnah apa pada saya? Fitnah tidak menutup aurat dengan sempurna ketika solat. Untung ada sahabat yang berterus-terang dan tidak terkongkong dengan kaedah 'menjaga hati orang'. Jika tidak, tentu banyak fitnah telah terjadi pada saya. Maha Suci Allah.

Enak betul hidup dengan orang bertaqwa. Tegurannya telus tetapi halus dan berseni. Jika ini sudah dapat dilihat pada orang Islam pada abad ke-21 begini, bayangkanlah pula akhlak Rasulullah dan para sahabat serta tabi'in...

p/s: Tapi jangan suka hati fire direct pada orang yang tidak sefikrah. Kabut jadinya.

No comments: