Saturday, 18 October 2008

Yang Mana Satu


Manusia, nafsu dan keinginan sudah bagaikan sedarah daging sejak manusia mula-mula diciptakan Allah. Bermula dengan kerinduan Adam pada teman hidup, kemudian mencetus peristiwa hitam yang mencampakkan Adam dan Hawa ke dunia kerana mereka mengikut keinginan mereka memakan 'buah larangan'. Tidak berhenti selepas itu, keinginan jugalah yang membuatkan Habil terbunuh di tangan Qabil. Keinginan terus menjalar dalam salur darah manusia seperti mana kemunculan berhala sebagai tuhan, penyembahan alam dan manusia serta dewa-dewi, kepercayaan karut, dan kini manusia intelektual menjadikan sains dan kerjaya sebagai tuhan.

"...Dan siapakah yang lebih sesat daripada orang yang mengikuti keinginannya tanpa mendapat petunjuk dari Allah sedikitpun? Sungguh, Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang zalim." (Al-Qasas, 28: 50)

Keinginan manusia terlalu banyak untuk disenaraikan. Setiap tutur kata dan perlakuan manusia bermula dengan keinginan yang terbit di hati. Ukhuwah, dakwah dan cinta juga sudah tentu bermula dengan keinginan. Namun, keinginan yang baik boleh juga terpecah-pecah kepada keinginan buruk yang kecil-kecil. Justeru manusia mestilah sangat berhati-hati dalam memelihara hatinya. Sebagai contoh, seorang da'ie berniat teguh dalam pelajarannya semata-mata untuk dipergunakan di jalan dakwah. Hal ini merupakan suatu keinginan yang membawa kepada jalan jihad yang diidamkan orang-orang bertaqwa. Namun, kadang-kadang muncul keinginan lain yang bernanah dalam hati sedikit demi sedikit yang membuatkan study menjadi aula berbanding dakwah. Terkadang, seorang da'ie terpaksa pula memilih antara menghadiri meeting/discussion group atau menghadiri program agama pada hujung minggu. Ketika ini, ujian sebegini menuntut kekuatan jiwa seorang mukmin terutamanya apabila discussion group menjanjikan kepentingan yang lebih berbanding program agama yang boleh dihadiri pada masa lain.

Seorang teman pernah memberi nasihat, "Kejarlah akhirat, niscaya dunia itu tak akan ke mana-mana."

Yang mana satu?

Sering kali kita bertanyakan tentang aula sesuatu perkara ataupun meminta pendapat sesiapa yang lebih berpengalaman. "Kalau kejar akhirat, mengapa kita perlu study, akak? Dunia kan perlu ditinggalkan?" Soalan sebegini sering berlagu-lagu dalam hati manusia yang baru mengenal islam, yang baru mengenal dakwah. Soalan ini nampak mudah pada pendengaran manusia, bunyinya seperti mudah dijawab. Namun, yang susah adalah penerimaan di dalam hati. Kalau ia masih berdendang-dendang di dalam hati, maksudnya kita belum cukup hadam.

"Dunia ini hanyalah ujian, permainan dan senda gurau."

"Jadi, kenapa perlu belajar bersungguh-sungguh?"

"Supaya kamu menjadi muslim yang berjaya"

"Tak belajar tinggi pun boleh berjaya..."

Ada yang bergitu cinta pada study sehinggalah dia diperkenalkan kepada islam. Lantas, islam telah menyelimuti seluruh kehidupannya, bernaung di alam kehidupannya, bertakhta di hatinya. Islam agamaku, negaraku, bangsaku, keluargaku, cintaku, bapaku, hidupku. Seharusnya, sudah tentu dia semakin cinta kepada study berbanding dahulu, kerana sudah tahu matlamat hidupnya. Namun, disebabkan kekurangan pemahaman persoalan tadi, tak mustahil dia kehilangan semangatnya untuk study kerana sukar memahami perkaitan study dengan akhirat. "Adakah semata-mata untuk mendapat pahala usaha? Bekerja pun berusaha juga...." Satu lagi soalan berkaitan.

Sistem sekular adalah satu titik tolak perkara ini mula-mula berlaku. Sistem ini telah berjaya memisahkan dunia dan akhirat, sains dan agama, serta sejarah Tanah Melayu turut menyaksikan bagaimana adat resam melayu dan hal ehwal agama islam dipisahkan daripada sultan dan pentabiran negara pula diambil alih oleh penjajah. Di sekolah, sains subjek lain, agama subjek lain. Kes sekarang, sistem ini telah berjaya mengelirukan hati kita tambah-tambah lagi buat kita yang tercampak ke dalam bidang sains tulen 100%. Contohnya kerana ketidakfahaman ini, apabila terdedah dengan agama, semangat sains tulen mula turun peratusannya.

Apabila semangat mula turun, result peperiksaan mula merudum. Keluarga dan rakan-rakan mula mempertikai, mula menyoal siasat. Hujung minggu, program. Malam jumaat, usrah 1. Malam selasa, usrah 2. Kemudian, hasil soal siasat berkeputusan program-program dakwah mengganggu pelajaranmu. Rakan-rakan dan ibu bapa pun terus memandang serong. Terus diri dipaksa berhenti menghadiri program, yang juga bermaksud, berhenti mengenal islam padahal sebab kegagalannya adalah kerana semangat yang lemah kerana satu soalan yang tidak terjawab, 'Kenapa perlu STUDY?' Konklusi, fitnah pada dakwah.

"...Konklusi, fitnah pada dakwah."

"Ooooh, begitu...."

Buat apa yang mampu.

Kita tidak dapat mengubah sistem sekular sekarang. Apa yang mampu kita lakukan setelah tercampak ke dunia sains tulen 100%, bukanlah memboikotnya kerana merasakan fungsinya yang sedikit dalam pengisian dakwah tetapi sebaliknya menjadikan study sebagai alat dakwah. Apabila result pelajaran seorang da'ie lebih hebat berbanding orang lain, sudah tidak ada alasan bagi orang lain membantai program agama sebagai penyebab kegagalan study. Hakikatnya, kegagalan seseorang dalam study adalah kerana kesalahannya sendiri. Ramai sahaja da'ie yang berjaya dalam hidup. Malah, dakwah dan kefahaman terhadap islam ini menjadi sebab dan inspirasi untuk da'ie itu berjaya.

"Untuk berdakwah, kita perlukan ilmu."

Melalui study, seorang manusia dapat mengenal Allah melalui ilmu-ilmu-Nya yang luas. Manusia dapat melihat kebesaran Allah, kebijaksanaan Allah dan sebagainya yang terus membuat hati manusia itu yakin yang Allah adalah Maha Esa. 'Manusia ini kerdil dan hina', hanya diakui oleh ulul albab kerana mereka menuntut ilmu semata-mata untuk mengenal Allah.

"Dan Kami pasti akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa, dan buah-buahan. Dan sampaikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar." (Al-Baqarah,2: 155)

Dunia pasti datang mengejar untuk menguji iman manusia. Mungkin krisis hubungan, kewangan, makanan, atau nyawa. Kegagalan manusia berurusan dengan dunia boleh menyebabkan dunia mengganggu jalan akhiratnya. Jadi, jalan bahagia manusia di akhirat bergantung kepada cara manusia menunggang dunia.

Jangan tinggalkan dunia, kerana ia pasti akan mengejarmu. Jangan kejar dunia, kerana ia pasti akan meninggalkanmu.

No comments: