Friday, 8 August 2008

Kasihan Diri Sendiri

Suatu hari cik kak berlari-lari anak di dalam rumah. Oleh kerana mata tak pandang bawah, cik kak tersepak sesuatu sampai boleh kedengaran bunyi momentumnya yang sangat tinggi. Kaki cik kak sangat sakit. Cik kak sapu-sapu, gosok-gosok kaki sendiri. Bila cik kak pandang ke tempat tadi, baru cik kak tahu yang cik kak tersepak kepala puan kucing. Puan kucing menggelengkan kepalanya banyak kali, mungkin terpening sedikit. Yalah, bunyi momentum pelanggarannya pun sangat kuat.

Terus cik kak duduk di sebelah puan kucing seperti orang hendak merayu sesuatu. Ya, cik kak nak merayu kemaafan.

"Maaf sangat-sangat, tak sengaja." Ulang banyak kali.

Puan kucing buat muka sepuluh sen sahaja. Tak pandang cik kak pun. Dia pandang depan sahaja. Cik kak dapat bayangkan kesakitan yang puan kucing alami tadi. Sebagaimana sakitnya kaki cik kak, tentu kepala puan kucing lebih merana.

Cik kak tahu puan kucing memang tak faham walau cik kak buat bahasa isyarat sekalipun. Namun, atas rasa bersalah, kasih, cinta, kasihan pada puan kucing...

Cik kak sakit hati sebab puan kucing tak faham bahasa manusia. Cik kak sangat mahu puan kucing faham yang cik kak betul-betul minta maaf dan rasa bersalah sangat-sangat terhadap puan kucing. Namun, puan kucing masih lagi begitu. Dengan mukanya yang tiada perasaan, dia berjalan pergi ke arah dapur seperti biasa. Meninggalkan cik kak yang perasaan bersalahnya bertepuk sebelah tangan.

Pernahkah anda mengalami?

Perasaannya sukar dan menyakitkan hati. Susah bila menunjukkan simpati dan perasaan kisah kepada yang tidak memahami.

Macam menunjukkan rasa kasih dan sayang kepada manusia yang belum/tidak matang. Disimpan dikatanya dikongkong, dilepas nanti meliar. Sebagaimana perasaan cik kak ketika itu, macam itu jugalah perasaan seorang ibu terhadap anak remajanya yang degil asyik nak bebas. Orang yang nampak pun boleh jatuh hati pada ibu itu, berharap dia menerima layanan yang sama. Dimarah pun tak kisah.

No comments: