Thursday, 24 July 2008

Bila Terkena Batang Hidung Sendiri

"Kak, tengok berita dengan surat khabar tak?" Tanya mak.

"Awat mak?"

"Yang kes ayah bunuh 2 anak sebelum bunuh diri tu."

"Awatnya?"

"Abang Shaari lah tu!"

"...?"

"Laki Kak Zah laaa!"

"La haulawala quwwataillabillahil 'aliyyil'aziiiiim.." Itu sahaja yang mampu terucap.

Bapa bunuh 2 anak sebelum ditemui mati
NIBONG TEBAL 23 Julai - Seorang pekerja kilang yang dipercayai kecewa dengan keretakan rumah tangganya bertindak membunuh dua anaknya berusia satu dan empat tahun, sebelum ditemui mati di sebuah rumah di Parit Kasa, di sini hari ini.
Dalam kejadian menyayat hati itu, mayat Shaari Hamid, 34, dijumpai tergantung pada alang bilik di rumah berkenaan kira-kira pukul 12.30 tengah hari.
Berdekatan mayat Shaari ialah dua anaknya, Muhamad Shafril, 4, dan Nor Ameelia Shafiqah, 1, yang terbaring bersebelahan antara satu sama lain dalam keadaan mulut kedua-duanya berbuih.
Laporan bedah siasat mengesahkan kedua-dua kanak-kanak malang itu diracun oleh bapa mereka pada lewat malam tadi.
Utusan Malaysia difahamkan, polis turut menemui beberapa keping nota mengandungi luahan rasa kecewa Shaari mengenai masalah rumah tangganya.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Supritendan Shafien Mamat berkata, mangsa dipercayai bertindak membunuh kedua-dua anaknya dengan memberikan racun yang dicampur pada makanan atau minuman.
"Dia baru berpisah dengan isterinya kira-kira enam bulan lalu dan sedang dalam proses perceraian," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Difahamkan, Shaari dan isteri, Norhanizah Ahmad, 27, tinggal secara berasingan sejak beberapa bulan lalu dan kedua-dua anak mereka duduk bersama ibunya di Kampung Titi Serong, Parit Buntar, Perak, dekat sini.
Keluarga terdekat mangsa memberitahu, Shaari mengambil kedua-dua anaknya dari rumah mertuanya kira-kira pukul 11 pagi semalam.
Shafien berkata, kejadian tersebut disedari kakak Shaari yang datang ke rumah tersebut kira-kira pukul 12 tengah hari.
"Kakak mangsa terkejut melihat Shaari tergantung dalam sebuah bilik rumah tersebut lalu keluar mendapatkan pertolongan," jelasnya.
Beliau menambah, pemeriksaan polis mendapati, ketiga-tiga mangsa mati kira-kira tujuh jam sebelum mayat mereka ditemui.
Shafien berkata, polis mengklasifikasi kes tersebut sebagai bunuh dan membunuh diri iaitu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Beliau memberitahu, kesemua mayat dihantar ke Hospital Besar Sungai Bakap (HSB) untuk bedah siasat.
Sementara itu, Norhanizah yang ditemui di bilik mayat hospital memberitahu, suaminya itu ada menghubunginya Isnin lalu dan menyatakan hasrat untuk mengambil kedua-dua anak mereka.
"Tetapi saya tidak beri kebenaran sebaliknya memintanya (Shaari) mengambil anak-anak pada hari Sabtu kerana saya mahu meluangkan masa dengan mereka," katanya yang bertugas di sebuah syarikat swasta di Perai, dekat sini.
Bagaimanapun katanya, tanpa pengetahuannya, Shaari mengambil Muhammad Shafril di rumah ibunya kira-kira pukul 11 pagi semalam sebelum mengambil pula Nor Ameelia Shafiqah yang dijaga oleh seorang pengasuh tidak jauh dari situ.
"Saya tidak tahu dia (Shaari) ada mengambil anak-anak dan hanya diberitahu ibu saya dan pengasuh berkenaan, tidak sangka pula dia buat begini," katanya yang sebak.
--------------------------------------------------------------------------------
RASA bersalah, berdosa, takut, sedih...., entah. Mixing feeling. Sudah terkena batang hidung sendiri, terjadi di kalangan kenalan sendiri, baru terasa nak menggelabah. Sebelum ini, banyak kes seperti ini yang berlaku tapi kerap kali aku bermalas-malasan nak ambil tahu. Amar ma'ruf nahi mungkar diabaikan. Tiada perasaan untuk memberi kefahaman agama. Berdosalah aku.
Kes itu, panjang ceritanya. Tidak pula aku sangka sampai begini jadinya kisah ini. Namun, apalah yang nak dilihatkan dengan apa yang dah berlaku. Bukan penting untuk menilai siapa yang salah. Yang penting, apa yang kita sudah lakukan. Masyarakat jadi begini? Salah siapa? Muhasabah.
Di mana kita? Kita yang FAHAM?
Di mana aku...? Apakah akan dituntut di hari sana.. Na'uzubillah.
Wahai rijal wannisa', marilah. Jangan hanya tunggu sampai terkena batang hidung sendiri nanti baru nak terjaga.
------------------------------------------------------------------------------
"Dan bahawa manusia hanya memperoleh apa yang telah diusahakannya, Dan sesungguhnya usahanya itu kelak akan diperlihatkan (kepadanya), Kemudian akan diberi balasan kepadanya dengan balasan yang sempurna, Dan sesungguhnya kepada Tuhanmulah kesudahannya (segala sesuatu), Dan sesungguhnya Dialah yang menjadikan orang tertawa dan menangis, Dan sesungguhnya Dialah yang mematikan dan menghidupkan..."
(An-Najm: 39-44)

No comments: